Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara yang tidak akan kekal selamanya. Setiap yang hidup pasti akan mati, begitu juga kehidupan kita ini, pasti akan berakhir dengan kematian dan kita tidak akan dapat lari daripadanya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Jumaah ayat 8 yang bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad, sebenarnya kematian yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan.”
Apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilikinya, tiada anak isteri yang menemaninya lagi, tiada ibu bapa dan ahli keluarga yang mendampinginya lagi dan tiada harta benda untuk dinikmatinya lagi. Jasad yang terbujur kaku akan diuruskan dan dihantar ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Pada saat itu, berpindahlah ia ke alam kubur atau alam barzakh. Tiada apa yang dibawanya sebagai bekal, kecuali ibadah dan amal jariah semasa hayatnya di dunia serta doa daripada anak-anak yang soleh. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Apabila telah mati seseorang itu, akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Imam Muslim)
Mengingati mati itu mempunyai banyak kelebihan dan hikmah, antaranya ialah menjadi peringatan kepada kita yang masih hidup ini, supaya tidak terus leka dengan keasyikan hidup di dunia ini. Dengan mengingati mati juga, mendidik jiwa kita untuk menjadi orang yang sentiasa merendah diri, tidak lupa diri dan sombong. Mengingati mati juga menjadikan kita bijak merancang kehidupan yang sementara ini dengan baik sebelum ajal tiba. Namun bagaimana pula halnya orang yang tidak ingat kepada mati? Selalunya orang tidak ingat kepada mati akan mudah lalai dan leka dari mempersiapkan diri untuk menghadap Allah s.w.t., sehingga ada di antara mereka yang tidak bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah s.w.t., malahan ada pula yang berani melanggar perintah Allah s.w.t. dengan sengaja.
Mereka menyangka bahawa masa itu masih panjang, pada hal sebenarnya amat singkat. Mereka menyangka masih sempat untuk bertaubat dengan berbuat amal ibadah kemudian hari nanti, pada hal belum tentu umurnya panjang. Sedarlah betapa orang yang tidak ingat kepada mati sentiasa berada di dalam kerugian yang amat sangat. Bertaubatlah dan beribadahlah dengan segera, jangan ditangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bila ajal akan tiba. Mungkin esok atau lusa, hanya Allah s.w.t. sahajalah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.
Tidak dapat dinafikan ajal itu kadang-kadang datang secara tiba-tiba, tanpa ada tanda-tanda bahawa maut akan tiba. Kadang-kala ia menimpa orang yang sihat dan cergas dan ada juga dari kalangan orang yang masih muda usianya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tanda-tanda untuk mengingatkan manusia dari lalai terhadap kehidupan di dunia ini dan juga sebagai amaran atau pemberitahuan bahawa ajal sudah dekat. Dalam kitab At-Tazkirah Imam Al-Qurtubi menyebutkan, “bahawa terhadap sebuah hadis yang menceritakan bahawa sebahagian nabi-nabi pernah bertanya kepada malaikat maut : Mengapa engkau tidak mengirim utusan supaya manusia takut kepadamu dan supaya mereka dapat bersiap-siap? Malaikat maut berkata, Ya, demi Allah. Aku mengirimkan beberapa tanpa seperti penyakit, uban, umur tua, berkurang pendengaran dan penglihatan. Oleh itu barang siapa yang mendapati perkara-perkara itu dan dia tidak berusaha mengingati mati serta tidak pula bertaubat, maka ketika mencabut nyawanya, aku akan berkata kepadanya : Bukankah aku telah mengutus utusan demi utusan dan amaran demi amaran kepada kamu? Dan adapun aku ini (malaikat maut) adalah utusan yang tidak ada utusan lain lagi selepas aku.”
Setiap hari yang padanya terbit dan terbenam matahari, malaikat maut berteriak : “Wahai orang-orang yang berusia 40 tahun, inilah waktunya menyiapkan bekalan, selagi ingatan kamu masih terang dan tenaga kamu masih kuat! Wahai orang-orang yang sudah berumur 50 tahun, sudah dekat masa mengutip hasil dan menuai! Wahai orang-orang yang sudah berumur 60 tahun, kamu lupa akan seksa dan lalai daripada memberikan jawapan, nanti tidak ada yang akan menolong kamu!”
Sesungguhnya agama Islam menggalakkan umatnya sentiasa mengingati mati, supaya kesempatan hidup ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, kerana apabila ajal tiba, kita tidak akan ada peluang lagi untuk berbuat apa-apa kecuali penyesalan yang sudah tidak berguna lagi. Memang tidak dinafikan bahawa manusia itu mudah lalai dan lupa jika tidak selalu diperingatkan, oleh itu hendaklah kita saling mengingati bagi memanfaatkan peluang yang ada untuk beramal ibadah dan berbuat kebajikan. Akhirnya, marilah sama-sama kita berdoa semoga mendapat husnul khatimah iaitu mati dalam keadaan yang baik dan semoga kehidupan kita di alam barzakh dan di akhirat nanti akan mendapat keampunan dan keredhaan serta rahmat daripada Allah s.w.t.
[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 3 Mac 2017]