CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Lawatan dari Malaysia France University Centre (MFUC)

malaysia-france-university-centre-logo

Kunjungan delegasi dari Malaysia France University Centre(MFUC) pada 31 Mac yang lalu membuahkan tawaran kerjasama penyelidikan. Delegasi yang terdiri daripada empat orang ini termasuk Datuk Seri Dr. Md. Zabid, Pengarah MFUC (Malaysia), Dr. Maxime Feraille, Pengarah MFUC (Perancis), Morgane Iat, Penolong Pengarah MFUC (Perancis) dan Cik Yananorfariza Yahya, Penolong Pengarah MFUC (Malaysia).

MFUC merupakan badan kerajaan yang beroperasi di Kuala Lumpur yang mempunyai hubungan yang erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia. Peranannya ialah sebagai penasihat yang menghubungkan universiti-universiti yang berada di Malaysia dan Perancis terutamanya yang melibatkan pelajar dan juga penyelidik. MFUC berhasrat untuk membina hubungan kerjasama dalam bidang penyelidikan antara UMT dan institusi pendidikan tinggi di Perancis. Perancis yang merupakan ahli European Union (EU) mempunyai banyak geran penyelidikan yang juga boleh dimanfaatkan oleh para penyelidik Malaysia yang mempunyai hubungan kerjasama dengan penyelidik di Perancis. Antara geran yang ditawarkan ialah BIO-Asie, STIC-Asie, dan EU Program Horizon 2020.

Semasa kunjungan di UMT, delegasi dari MFUC telah disambut oleh Prof. Noor Azhar Mohamed Shazili, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) yang mempengerusikan perbincangan mengenai hubungan kerjasama yang akan diadakan. Prof. Noor Azhar juga turut membentangkan sedikit pengenalan mengenai UMT terutamanya dari segi pusat pengajian, institut dan stesen penyelidikan luar kampus UMT. Perbincangan yang diadakan di Bilik e-Persidangan Pusat Teknologi Maklumat ini telah dihadiri oleh dekan-dekan pusat pengajian dan juga pengarah-pengarah institut.

Delegasi juga turut mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Naib Canselor dan mengadakan perbincangan santai dengan Profesor Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo, Naib Canselor UMT. Setelah itu delegasi turut dibawa untuk melawat makmal-makmal di tiga buah institut iaitu Institut Oseanografi dan Sains Sekitaran (INOS), Institut Bioteknologi Marin (IMB) dan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP).