CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Akan Anjurkan Rehlatul Mubarakah Umrah Musim Sejuk 2017

16992344_1742164766093647_4480741113156483362_o

Kuala Nerus, 26 Feb 2017 – Susulan kejayaan penganjuran program Rehlatul Mubarakah Umrah Musim Sejuk pada 20-31 Disember 2016 yang lepas, Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dengan kerjasama Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. sekali lagi akan menganjurkan program tersebut pada bulan Disember 2017 nanti. Bersempena dengan kejayaan pelaksanan program tersebut pada tahun lepas, Pusat Islam Sultan Mahmud UMT telah menganjurkan Majlis Penghargaan Rehlatul Mubarakah Program Umrah Musim Sejuk 2016 di Dewan Syarahan, Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada hari ini.

Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya berkata, “Program Rehlatul Mubarakah pada tahun lepas telah berjaya membawa 43 orang peserta dan kita berhasrat jumlah ini akan meningkatkan pada tahun ini. Program ini dianjurkan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dengan kerjasama Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. selaku pengendali umrah. Pihak PISM akan mengadakan beberapa siri kursus umrah secara percuma di Masjid UMT dan masjid-masjid di sekitar Kuala Terengganu bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan persiapan diri mengenai ibadah umrah. Pihak kami amat berharap program Rehlatul Mubarakah anjuran UMT ini dapat menarik minat komuniti untuk mendekatkan diri dan beribadah kepada Allah s.w.t.”

Di majlis tersebut, pihak Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Haji Hairi Salimun, Pengarah Bahagian Operasi telah menyampaikan cek berjumlah RM2,000.00 kepada UMT sebagai penghargaan atas kerjasama penganjuran program Rehlatul Mubarakah pada tahun lepas. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Zahara Kedri (Bendahari UMT) dan Dr. Firdaus Khairi Abdul Kadir (Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT).