CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Lancarkan Program Saintis Islam Kohort III 2017

16487741_1731457460497711_8457332496052125628_o

Kuala Nerus, 6 Feb 2017 – Kerajaan Negeri Terengganu bertekad untuk terus melahirkan generasi ulul albab yang cerdik, profesional, quranik dan islamik. Bagi merealisasikan matlamat yang murni ini, Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dengan Yayasan Terengganu, UniSZA dan Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) telah menganjurkan Program Saintis Islam Terengganu Kohort III 2017 di UMT bermula pada hari ini hingga 2 Mac 2017. Program ini disertai oleh 17 orang pelajar yang cemerlang dari Sekolah-sekolah Menengah IMTIAZ seluruh Terengganu dan seorang pelajar akan terpilih untuk ditaja melanjutkan pengajian ke luar negara dari peringkat ijazah sarjana muda sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

“Program kohort III Saintis Islam kali ini disertai oleh 17 orang pelajar IMTIAZ dan seorang pelajar akan dipilih untuk ditaja melanjutkan pengajian kursus perubatan ke luar negara dari peringkat ijazah sarjana muda sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) dan segala kos pengajian ditanggung oleh Yayasan Terengganu (YT) dengan peruntukan RM1.2 juta,” kata YB Hj A. Latiff Awang, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri Terengganu semasa merasmikan program tersebut.

“Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa serius dalam program-program seumpama ini bagi melahirkan modal insan yang hebat di negeri ini. Selain daripada cemerlang dalam akademik, modal insan yang ingin dilahirkan juga harus cemerlang dalam akhlak, mempunyai nilai integriti yang tinggi serta menghafal dan memahami Quran dan Hadis dengan baik. Selain itu, kita harus meneroka ilmu-ilmu baharu untuk dikaji dan diaplikasikan sesuai dengan zaman semasa. Malah kerajaan juga berhasrat untuk mengembalikan kehebatan ketamadunan Islam dengan melahirkan cendikiawan Islam yang tersohor,” ujar beliau dalam majlis tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aien Mokhtar; Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Mohamad Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Prof Madya Dr. Wan Nor Liza Mahadi.