CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Bengkel Hala Tuju dan Pemantapan Pengantarabangsaan

15350697_10154797968894419_1632445318798345268_n

Pada 8-10 Disember 2016, Pusat Antarabangsa, Canselori UMT telah menganjurkan Bengkel Hala Tuju dan Pemantapan Pengantarabangsaan UMT di Swiss-Garden Beach Resort, Kuantan, Pahang. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memantapkan hala tuju pengantarabangsaan UMT seterusnya dapat meningkatkan kedudukan UMT dalam QS University Ranking. Bengkel ini telah dihadiri oleh pegawai-pegawai UMT yang terdiri daripada Naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan Pusat Pengajian, Pengarah-pengarah Institut Penyelidikan dan pegawai-pegawai kanan UMT.

Dalam bengkel tersebut, Prof. Dr. Nordin bin Yahya yang merupakan Pengarah Kanan UTM International telah berkongsi rahsia kejayaan program pengantarabangsaan UTM dengan tajuk “Strategies in Enhancing Internationalisation & Introduction to University Rankings”. Beliau telah menekankan aspek pemerkasaan dan pengukuhan program pengantarabangsaan melalui penyediaan polisi dan strategi antarabangsa yang mantap, menyerlahkan citra antarabangsa melalui aktiviti promosi, hubungan kerjasama, program mobiliti pelajar dan staf, perkongsian budaya, pemantapan pengurusan kebajikan pelajar dan staf antarabangsa, dan penawaran program akademik yang menarik. Beliau juga menyatakan kedudukan universiti dalam senarai ranking amatlah penting kerana ia menggambarkan tahap dan keupayaan sebenar universiti dalam menarik minat pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

Selain itu, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT pula menyatakan bahawa UMT perlu meningkatkan citra antarabangsa dan kemudahan fasiliti supaya dapat memikat minat pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di UMT. Beliau juga meminta agar Pusat Antarabangsa dengan kerjasama pelbagai PTj lain dapat menyediakan inisiatif dan pelan tindakan pengantarabangsaan yang mantap yang perlu disusuli dengan sumber kewangan yang jitu. Pemerkasaan alumni antarabangsa juga penting kerana semua pelajar dan staf antarabangsa adalah duta promosi UMT. “Namun, semua inisiatif ini perlu dilaksanakan menggunakan konsep 3C iaitu ‘Communication, Collaboration and Cooperation'”, ujar beliau dalam ucapan menutup bengkel tersebut.