Bencana atau musibah ialah apa jua yang boleh menyebabkan kesusahan atau penderitaan seperti penyakit, kemalangan, banjir, tanah runtuh dan sebagainya. Di negeri kita, Terengganu Darul Iman, salah satu bencana yang berlaku saban tahun ialah banjir, yang biasanya terjadi pada musim tengkujuh. Ada ketikanya bencana banjir ini menyebabkan kerugian kepada harta benda, kerosakan tanaman dan kadangkala mengakibatkan kemalangan nyawa. Pada umumnya, musibah atau bencana ini boleh dilihat daripada tiga kategori :-
Pertama : Musibah Am iaitu bencana muka bumi dan manusia seperti banjir, ribut taufan dan gempa bumi. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Ankabut, ayat 14, yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah ia dalam kalangan mereka selama 950 tahun. Akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan, sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).”
Kedua : Bencana yang menimpa manusia sahaja sebagaimana maksud firman Allah s.w.t. dalam surah Hud, ayat 94, yang bermaksud, “Dan tatkala datang perintah Kami, Kami selamatkan Nabi Shuaib beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami dan orang yang zalim itu dibinasakan oleh suara yang keras, lalu jadilah mereka mayat yang tersungkur di rumah mereka.”
Ketiga : Musibah yang melibatkan individu sebagaimana maksud firman Allah dalam surah Taha, ayat 97, “Nabi Musa berkata kepada Samiri : Pergilah, kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini : Jangan sentuh daku, dan sesungguhnya telah dijanjikan untuk kamu balasan akhirat yang engkau tidak akan terlepas darinya. Dan lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya Kami akan membakarnya kemudian Kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.”
Tidak berlaku sesuatu peristiwa atau bencana melainkan tersirat hikmah-hikmah tertentu, seperti :-
Pertama : Untuk diperlihatkan kepada seseorang, hakikat diri sendiri dan hubunganya dengan mukmin yang lain bagi menimbulkan keinsafan atas kesilapan dan kelalaian diri untuk diperbaiki.
Kedua : Ujian bencana atau kenikmatan hidup ialah untuk dibuktikan seteguh mana kesabaran dan sedalam mana kesyukuran kepada Allah taala.
Ketiga : Musibah yang menimpa sebagai amaran supaya tidak terus berada dalam kancah maksiat.
Keempat : Bencana atau penderitaan yang dihadapi bukan kerana balasan buruk tetapi satu proses keampunan Allah taala. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, “Apa jua yang menimpa seseorang muslim seperti kesukaran, penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan dan kemurungan, sekalipun tertusuk duri, Allah menghapuskan dosa-dosanya (kerana kesabarannya).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kembali kepada persoalan khatib pada hari ini iaitu persediaan menghadapi bencana yang lebih berfokus kepada musibah banjir. Apa yang boleh dirumuskan, bahawa bencana tahunan ini, meliputi ketiga-tiga jenis musibah iaitu bencana alam, yang menyebabkan kerosakan harta benda, mendatangkan kesulitan dan penderitaan kepada manusia secara keseluruhan dan individu. Sementara itu, tidak dinafikan musibah ini juga mempunyai ciri-ciri hikmah yang sama, iaitu untuk menjadikan kita insaf, sabar, dan bertanggungjawab serta redha tanpa menyalahkan takdir.
Musibat ini juga mendorong kita supaya sedar dan lebih insaf atas kecuaian dan kerakusan kita melanggar syariat Allah. Di samping itu, adalah diharapkan semoga musibah yang menimpa sebagai proses penghapusan dosa dan mengangkat darjat orang yang sabar. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 155, yang bermaksud, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengannya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Dengan adanya kesedaran terhadap bentuk-bentuk bencana dan hikmahnya, kita wajib bersedia menghadapinya dengan penuh keinsafan dan menjadi tanggungjawab bersama, kerana musibah tidak menimpa individu atau kelompok yang cuai sahaja tetapi melibatkan juga mereka yang tidak berdosa. Justeru, bersiap sedialah menghadapi bencana banjir dengan panduan-panduan berikut :-
Pertama : Membuat persediaan seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa, sama ada menjalankan ikhtiar mencegah faktor-faktor bencana atau untuk menyelamatkan diri dan harta.
Kedua : Bertanggungjawab untuk turut serta bersama agensi kerajaan dan badan-badan sukarela bagi menyelamatkan mangsa yang terlibat.
Ketiga : Sentiasa bersedia untuk menghadapinya dengan kesabaran. Sabar dengan mengawal diri daripada kutuk-mengutuk, daripada keluhan dan bertindak di luar batas. Di samping itu, mengharapkan rahmat Allah kerana bersabar.
Keempat : Hadapilah bencana dengan sentiasa insaf dan redha dengan melafazkan “Innalillahi wa inna ilaihi rajiun”.
Kelima : Hindarkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mengundang kemungkaran Allah sebelum dan semasa ditimpa musibah dan sesudahnya.
Keenam : Tidak berlalu tertekan dengan musibah dan tidak berputus-asa, kerana ujian yang diterima ada hikmahnya serta sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah.
Oleh itu, marilah kita bersiap sedia menghadapi bencana dengan mengambil langkah-langkah berwaspada dari segi fizikal, minda dan rohani berdasarkan panduan Islam dan arahan pihak berkuasa.
[Petikan khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 28 Oktober 2016]