CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

14639670_783169635159240_2165677609334895470_n

Pada 17 Oktober 2016, Canselori UMT telah menganjurkan latihan dalaman kepada staf Canselori berkenaan dengan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Program latihan ini diadakan selama 4 jam bermula dari jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Fardu Ain, Pusat Islam Sultan Mahmud UMT. Ia bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang aspek keselamatan dan kesihatan yang perlu dititikberatkan semasa berada di pejabat atau semasa melaksanakan sesuatu aktiviti harian.

Taklimat pertama yang bertajuk “Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di UMT : Peranan dan Tanggungjawab Siapa?” telah disampaikan oleh Encik Asrul Azani Mahmood, Timbalan Pengarah Makmal Berpusat UMT. Beliau telah menerangkan tentang akta-akta atau peraturan-peraturan yang melindungi pekerja, tanggungjawab majikan, tanggungjawab pekerja, tanggungjawab kerajaan dan hak-hak pekerja sekiranya berlaku sebarang insiden kecelakaan semasa bekerja. Selain itu, beliau juga menerangkan cara-cara untuk memastikan kawasan persekitaran tempat kerja sentiasa selamat dan terhindar daripada kecederaan.

Taklimat kedua pula yang bertajuk “Keselamatan Tanggungjawab Kita Bersama” telah disampaikan oleh Encik Aisamuddin A. Jalil, Ketua Bahagian Keselamatan UMT. Beliau telah berkongsi statistik kes-kes kecurian dan kemalangan yang berlaku di dalam kampus UMT serta kepentingan untuk menjaga aset-aset dan dokumen-dokumen universiti supaya tidak dicuri atau hilang. Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakan kes kecurian dan kehilangan dalam Ops TEBUK adalah disebabkan kecuaian dan kelemahan staf yang tidak memastikan premis pejabat berada dalam keadaan selamat. Beliau menggesa semua staf memainkan peranan secara bersama bagi menjaga keselamatan peralatan dan dokumen universiti.

Taklimat ketiga pula disampaikan oleh Dr. Mas Aida Zaiton, Pegawai Perubatan UMT yang bertajuk “Pertolongan Cemas”. Beliau menerangkan kaedah-kaedah rawatan bantu mula atau pertolongan cemas yang perlu dilakukan sekiranya berhadapan dengan situasi kecemasan seperti kecederaan, terbakar, sawan, lemas, pengsan dan sebagainya. Selain itu, beliau juga menunjukkan demonstrasi melakukan Cardiopulmonary Resuscitation atau CPR iaitu satu tindakan bantuan awalan bagi memulihkan mangsa yang terhenti pernafasan dengan menggunakan teknik tekanan di atas dada (tekanan dari luar) dan bantuan hembusan pernafasan.