CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

2,353 Pelajar UMT Berikrar Memiliki ‘Minda Emas’

14188480_1648413208802137_7341574400011630378_o

Selasa, 30 Ogos 2016

Seramai 2,353 pelajar baharu sesi 2016/2017 UMT menyatakan lafaz ikrar mereka sempena Minggu Jalinan Mesra Pelajar Baharu yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT, pada petang tadi. Lafaz ikrar tersebut berlangsung dalam suasana yang meriah dan diadakan di hadapan Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Mokhtar. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan, ahli-ahli akademik dan staf pentadbiran UMT.

Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni dalam ucapannya menyatakan, semasa Minggu Jalinan Mesra pelajar baharu, pelajar telah didedahkan mengenai kehidupan sebagai seorang mahasiswa di universiti. Majlis ikrar ini merupakan aku janji para pelajar untuk mengikuti peraturan yang ada sebaik mungkin dan mengambil peluang belajar secara maksimum yang boleh semasa berada di UMT. Oleh itu, pelajar perlu menggunakan sepenuhnya peluang di UMT untuk meneroka dan menimba ilmu serta melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sebagai persediaan untuk menempuh alam pekerjaan. Selain daripada menghadiri kuliah akademik, pelajar juga harus melibatkan diri dengan persatuan, kelab atau badan beruniform dan menjalinkan ukhuwah dengan pelajar-pelajar senior.

Beliau juga menyatakan bahawa sistem pembelajaran di universiti amat berbeza dengan sistem pembelajaran di sekolah. Pelajar perlu berusaha sendiri dan menggunakan pelbagai kaedah pembelajaran terbaharu untuk menimba ilmu daripada ahli akademik UMT. Mahasiswa perlu memiliki ‘Minda Emas’ yang akan menentukan kejayaan di masa hadapan. Apa yang berlaku bermula dari minda kita sendiri. Kalau minda kita hebat, apa juga yang kita lakukan akan dapat dicapai dengan cemerlang.