CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Pelancaran Buku Masjid Ulul Albab

14188461_1647497312227060_2707727241376293663_o

Ahad, 28 Ogos 2016

Penerbit UMT telah menganjurkan majlis pelancaran Buku Masjid Ulul Albab yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia di Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih, Besut, Terengganu pada tengah hari tadi. Buku ini telah ditulis oleh Dato’ Prof. Madya Dr. Noraien binti Mansor, Pengarah Penerbit UMT dan Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Hj Mokhtar, Naib Canselor UMT. Penulisan buku ini adalah bagi mendokumentasikan keunikan seni reka dan seni bina Masjid Ulul Albab yang juga dikenali sebagai Masjid Kayu, yang berkonsepkan warisan seni bina negeri Terengganu.

Masjid ini telah dibina pada tahun 2009 dengan kos sebanyak RM12juta dan telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu pada 24 Februari 2012. Dua tokoh yang terlibat dalam pembinaan masjid ini ialah Zulkiflie Bidin, arkitek yang mereka bentuk masjid, dan Wan Mustafa Wan Su, pengukir kayu tersohor Malaysia. Buku Masjid Ulul Albab mempunyai 4 bab yang memaparkan proses cetusan idea pembinaan masjid, seni pembinaan masjid, seni reka ukiran kayu, dan hiasan landskap yang menghiasi masjid ini.

Dato’ Seri Idris berkata, seni bina Masjid Ulul Albab adalah menggabungkan kesenian Islam dan warisan Melayu. Bumbung masjid yang dibina begitu tinggi bagi memudahkan peredaran udara di dalam masjid dan ia menjadi mercu tanda kebanggaan masyarakat setempat. Selain itu, menurut beliau, penulisan buku ini akan menjadi panduan dan rujukan khusus kepada pelancong yang berkunjung ke Besut. Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada UMT yang sentiasa menghasilkan penerbitan berasaskan citra dan budaya warisan negeri Terengganu sebagai usaha mempromosi negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan dan global.

Buku ini dijual dengan harga RM20.00 senaskah dan ia boleh didapati daripada Penerbit UMT (09-6684165).