Dewasa ini ramai yang bercakap mengenai transformasi. Kanak-kanak pun sudah pandai memahami apa itu transformasi tetapi mungkin selepas melihat cerita “Transformer” iaitu cerita kenderaan bertukar menjadi robot. Apabila melihat kepada cerita itu, agak mudah untuk memahami apa itu transformasi iaitu perubahan yang drastik daripada satu keadaan menjadi keadaan atau bentuk yang lebih dinamik dan canggih. Oleh sebab itulah, dalam mencapai impian dan cita-cita, kita harus menggerakkan usaha dan mengambil tindakan yang sistematik agar setiap sumber yang ada digerakkan untuk mencapai matlamat yang dipersetujui secara bersama.
YBhg. Tan Sri Samsudin Osman, Pro Canselor UMT menyatakan bahawa pegawai ikhtisas memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan transformasi organisasi dan negara. Beliau juga menyatakan bahawa sejarah perkhidmatan awam negara telah mencatatkan pelbagai program telah direncanakan oleh pemimpin dan pegawai perkhidmatan awam ke arah kecemerlangan dan kemakmuran negara. Oleh itu, setiap pegawai ikhtisas seharusnya fokus kepada merealisasikan agenda dan program transformasi yang telah disusun seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Beliau juga berkata persekitaran kerja pada masa sekarang jauh berbeza dengan zaman dahulu. Persepsi masyarakat yang begitu kritis dan kritikal terhadap sesuatu isu sehingga mereka begitu berani menyuarakan pendapat dan pandangan yang terkadang tidak berhemah dan beretika. Hal ini boleh menjadi halangan yang getir dan peluang yang cerah kepada organisasi untuk bergerak maju ke hadapan. Oleh itu, setiap pegawai agensi kerajaan harus mendepani cabaran dengan meningkatkan integriti dan ketelusan dalam melaksanakan tugas tanpa mengabaikan amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Keberkesanan sesuatu program transformasi adalah bergantung kepada kapasiti dan keupayaan pegawai ikhtisas dalam menterjemahkan perancangan dan sumber kepada penghasilan output yang berimpak tinggi.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap utama bertajuk “Menjuarai Agenda Transformasi Negara : Peranan Kumpulan Profesional dan Ikhtisas” dalam Persidangan Kebangsaan Pentadbiran Organisasi (PKPO) anjuran Pejabat Pendaftar UMT pada 4 Jun 2015 bertempat di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu.
Disediakan oleh :-
Abdullah Syukri bin M. Saleh,
Ketua Pentadbiran Canselori
10 Jun 2015
Foto : Media Kreatif, PKKPC