UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

BENTENG NEGARA ANTIRASUAH (BeNAR) PERKUKUH NILAI INTEGRITI DI KALANGAN MAHASISWA

11 Jun 2025 – UMT menerusi Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Kokurikulum dan Citra Pelajar (PKCP) serta Unit Integriti UMT telah berjaya menganjurkan Program Benteng Negara Anti Rasuah (BeNAR) yang telah berlangsung di Auditorium Sulaiman, PSNZ UMT.

Turut dilaksanakan pada program ini adalah Perbarisan Mingguan Badan Beruniform dan sesi forum. Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor UMT, yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen dalam menyemai nilai antirasuah dan membudayakan integriti dalam kalangan mahasiswa. Beliau turut menekankan bahawa UMT komited untuk melahirkan bukan sahaja graduan yang cemerlang dari segi akademik, malah berjiwa patriotik dan berintegriti tinggi.

Majlis turut menerima kehadiran Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Terengganu sebagai salah seorang panel forum BeNAR. Kehadiran beliau menambahkan nilai kepada program, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara SPRM dan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh usaha pengukuhan integriti dan pencegahan rasuah. Program BeNAR menjadi platform strategik dalam membentuk kesedaran serta membudayakan prinsip antirasuah di kalangan generasi muda sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan.