UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Enam rakan sekerja UMT genggam ijazah Sarjana Teknologi Maklumat sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-22

Enam rakan sekerja daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memahat sejarah buat diri mereka apabila berjaya menggenggam segulung ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-22 yang diadakan pada 20 Oktober 2024.

Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Ahmad Riedhaudden Razak, Puan Fauziah Nawi, Puan Noni Noraikhah Md Yusoff, Puan Norhaya Ayub, Puan Norliana Md Romali dan Puan Nurol Akmal Md Noor.

Menurut Prof. Dr Mohd Zamri, UMT sentiasa membuka ruang dan peluang kepada staf untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui pelbagai bentuk pengajian dan kursus yang ditawarkan oleh UMT atau institusi pendidikan tinggi yang lain. Malah UMT turut menawarkan program-program peringkat sarjana muda dan sarjana secara Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) yang memenuhi keperluan dan permintaan pasaran pekerjaan masa depan.