UMT perkukuh kerjasama penuhi keperluan latihan Tentera Darat Malaysia
Pada 1 Oktober 2024, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim telah mengadakan sesi kunjungan hormat Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim di bangunan Kementerian Pertahanan. Sesi kunjungan hormat ini menandakan kesinambungan kerjasama padu antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan UMT terutamanya dalam memenuhi keperluan latihan Tentera Darat, khususnya dalam bidang seperti Oseanografi, Navigasi Marin, Undang-undang Maritim, Teknologi Maritim dan Sains Menyelam.
Di samping itu, kedua-dua pihak turut membincangkan keupayaan dan kepakaran UMT dalam meningkatkan pengajaran, pembelajaran, dan pembangunan teknologi untuk Tentera Darat. Ini termasuk pengiktirafan pembelajaran terdahulu melalui sistem Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL), yang membolehkan anggota tentera menerima kelayakan rasmi berdasarkan pengalaman dan kemahiran mereka. Program APEL fleksibel UMT dilihat sebagai cara yang berkesan untuk kakitangan TDM meningkatkan kemahiran dan memperoleh kredit akademik, memajukan pembangunan profesional mereka tanpa mengganggu komitmen perkhidmatan mereka.
Dalam sesi pertemuan tersebut juga turut menyentuh tentang kursus jangka pendek yang boleh ditawarkan oleh UMT kepada kakitangan TDM terutamanya dalam bidang teknologi hidrogen yang berpotensi untuk menyokong keperluan operasi Tentera Darat pada masa hadapan. Kerjasama ini menekankan komitmen bersama kedua-dua organisasi untuk memacu inovasi, memperkasakan anggota tentera melalui pendidikan, dan memperkukuh keupayaan pertahanan negara.