UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT perluas hubungan kerjasama dengan beberapa Universiti di Indonesia

UMT memperluaskan hubungan kerjasama strategik di Indonesia dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima buah universiti terkemuka iaitu Universitas Telkom Bandung, Universitas Islam Bandung, Universitas Cendekia Abditama, Universitas Multimedia Nusantara dan Universitas Yatsi Madani.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, pemeteraian MoU dengan beberapa buah universiti di Indonesia dapat meningkatkan keterlihatan UMT melalui aktiviti pertukaran pelajar dan kerjasama penyelidikan. MoU ini ditandatangani sempena penganjuran persidangan antarabangsa 2nd Internasional Conference on Emerging Technology and Sustainability (ICETS) bertempat di UNPAM, Kota Tangerang Selatan, Indonesia pada 31 Ogos 2024. Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan (FTKK) dan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) telah terlibat sebagai penganjur bersama persidangan.

Penganjuran persidangan ini merupakan hasil kerjasama antara UMT dengan Universitas Pamulang (UNPAM) Indonesia dan Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia. Usaha ini juga merupakan satu inisiatif untuk membudayakan perkongsian hasil penyelidikan melalui pembentangan lisan dan penerbitan di kalangan para penyelidik yang terdiri dari pelbagai bidang kepakaran khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Pembangunan Lestari.