UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT bakal tawar program pesisir dengan kerjasama Northern Kuala Lumpur International College

UMT bakal menawarkan program pesisir dengan kerjasama Northern Kuala Lumpur International College (NKLIC). Program ini merupakan program pesisir yang ketiga ditawarkan oleh UMT dan program pertama yang akan ditawarkan berlokasi di NKLIC.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, UMT memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NKLIC yang bakal memacu kerjasama strategik untuk menawarkan Program Kerjasama Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) dengan Kepujian UMT-NKLIC (Secara Pesisir). Penawaran program pesisir ini merupakan salah satu fungsi yang diuruskan oleh Pusat UMT Life.

Menurutnya lagi, UMT memilih untuk bekerjasama dengan NKLIC bagi memenuhi salah satu daripada sepuluh lonjakan yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu Keunggulan Global. Dengan adanya program kerjasama di luar pesisir antara UMT-NKLIC ini, ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan jumlah pelajar tempatan dan antarabangsa serta memperkukuhkan promosi dan pemasaran sistem pendidikan tinggi Malaysia, malah turut menyumbang kepada peningkatan sumber pendapatan UMT dan negara.

Selain itu, hubungan kerjasama ini juga diharapkan dapat membuka peluang kolaborasi yang lebih luas dengan institusi di China dalam bidang kepakaran UMT dengan kerjasama NKLIC. Aktiviti seperti sangkutan pensyarah, mobiliti pensyarah dan pelajar diharap dapat memberi impak kepada kualiti sistem pendidikan sedia ada dalam melahirkan pensyarah dan pelajar yang holistik dan berdaya saing.

Turut hadir Pengarah Pusat UMT Life, Prof. Dr. Hafiza Aishah Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif NKLIC, Dr Vicky Chua Chek Yea dan Pendaftar NKLIC, Puan Celina Tan Wooi Han.