UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT terima 416 pelajar baharu Asasi STEM dan Diploma Perikanan

Seramai 416 pelajar baharu Diploma Perikanan dan Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Sesi Akademik 2024/2025 telah mendaftarkan diri secara fizikal ke kampus UMT pada 21 Julai 2024.

Menurut Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT, seramai 337 pelajar Asasi STEM dan 79 pelajar Diploma Perikanan telah mendaftar untuk meneruskan pengajian di UMT. Beliau berkata demikian dalam Majlis Ikrar Pelajar Baharu Asasi STEM dan Diploma Perikanan UMT Sesi Akademik 2024/2025 pada 22 Julai 2024 bertempat di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail UMT.

Katanya lagi semua pelajar baharu akan mengikuti Program Minggu Jalinan Mesra (MJM) bermula 21 Julai 2024 hingga 27 Julai 2024 bagi memberi pendedahan tentang proses pembelajaran dalam kampus dan budaya kehidupan sebagai pelajar UMT. Di sepanjang program ini, pelajar juga dibimbing oleh fasilitator di kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pelajar senior.