UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT meterai MoU dengan The Lancet Countdown

UMT memperkasakan kerjasama penyelidikan dalam bidang perubahan iklim dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan The Lancet Countdown di London pada 22 Mei 2024. Majlis menandatangani MoU tersebut telah disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir. Turut hadir ialah Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT; Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT; Dr Marina Romanello, Executive Director of the Lancet Countdown, Senior Research Fellow (Lancet Countdown), University College London (UCL); dan Professor Dr Hugh Montgomery, Order of British Empire, Chair of Intensive Care Medicine, University College London (UCL).

The Lancet merupakan jurnal perubatan terkemuka antarabangsa yang membincangkan pelbagai isu merentasi topik kesihatan kanak-kanak dan remaja, kesihatan global, pemanasan iklim global, pemakanan, alam sekitar dan awam. Penerbitan laporan The Lancet akan dilancarkan di The Lancet Countdwon yang menghimpunkan saintis terkemuka dalam pelbagai bidang dari institusi pendidikan dan agensi Pertubukan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia.

UMT adalah satu-satunya Universiti Awam di Malaysia dipilih sebagai rakan kolaborasi The Lancet di peringkat rantau Asia Tenggara dan pelancaran The Lancet Countdown telah diadakan sebanyak tiga kali di UMT bermula pada 2020, dan penganjuran ke-4 diadakan di UiTM pada 2023.

Pada 2022, polisi pertama bagi Malaysia (The Lancet Countdown Policy Brief for Malaysia 2022) telah berjaya dibangunkan oleh UMT dengan kerjasama Sunway Universiti, Malaysia Medical Association (MMA) dan Academy of Medicine of Malaysia (AMM) serta diperakui oleh The Lancet Countdown, London, UK. Polisi ini mengandungi perakuan kepada penggubal dasar di Malaysia berkaitan mitigasi dan adaptasi kesan perubahan iklim dari perspektif kesihatan manusia termasuklah isu Keselamatan Makanan Negara.