UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Pelayar UMT cipta sejarah wakili negara ke FISU, Itali

Enam orang pelajar UMT akan mencipta sejarah mewakili negara ke Kejuaraan Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU) Dunia yang akan berlangsung di Itali pada 4 hingga 11 Jun depan. Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts Mustapha Sakmud, beliau menaruh harapan yang tinggi agar pasukan pelayar UMT merangkul kejuaraan pada kejohanan peringkat antarabangsa berkenaan. Kementerian Pendidikan Tinggi turut menyumbang dana RM10,000.00 kepada Pasukan Pelayaran UMT bagi menampung perbelanjaan di Itali nanti. Beliau berkata demikian selepas melepaskan pasukan pelayaran UMT di Pulau Duyong, Terengganu. Turut hadir, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UMT dan Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT.