Kuala Nerus, 7 Okt – Sebanyak 416 produk reka cipta dan hasil penyelidikan telah dipamerkan di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai PECIPTA’17 yang melibatkan penyertaan 40 IPT, tujuh buah Politeknik tempatan, dua buah Kolej Komuniti dan beberapa syarikat swasta.
PECIPTA’17 yang pertama kali diadakan di negeri Terengganu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bersama UMT dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan diadakan selama 3 hari bermula pada hari ini dengan tema Memupuk Usahawan Menerusi Pendidikan, Industri, Teknologi dan Inovasi Sosial.
“Kita boleh memilih untuk menjadi pengguna atau boleh memilih untuk menjadi creator, innovator and market leader dalam erti kata lain, PECIPTA! Institusi pengajian tinggi negara telah berjaya meletakkan negara di tangga kedua dunia melalui hasil penyelidikan mereka dengan mencatat perkembangan 7.2 peratus dalam tempoh enam tahun. Pencapaian itu direkodkan berbanding purata dunia 1.1 peratus manakala 20 penyelidik berada dalam kelompok saintis terbaik dunia berdasarkan penyelidikan berkaitan kejuruteraan, kewangan Islam, alam sekitar dan tenaga,” kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam ucapan perasmian PECIPTA’17 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu
Turut hadir dalam PECIPTA’17 ialah Naib Cancelor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif serta wakil-wakil IPT seluruh negara. Selain pameran produk reka cipta dan hasil penyelidikan, pelbagai aktiviti lain turut diadakan antaranya Bicara Ikon, pertandingan robotik, Festival Sains anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), jualan kenderaan saji (food truck), pelbagai pameran dan demo saintifik.