UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

2,202 pelajar baharu Sarjana Muda mendaftar di UMT

Seramai 2,202 orang pelajar baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024 telah mendaftarkan diri secara fizikal ke kampus UMT pada 1 Oktober 2023. Proses pendaftaran pelajar telah bermula seawal jam 8.30 pagi apabila pelajar hadir ke Dewan Sultan Mizan untuk mengambil kunci bilik Kolej Kediaman dan pakej Minggu Jalinan Mesra (MJM) serta mengaktifkan Kad Prihatin Siswa (KPS) di Kaunter RHB Bank.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, pada tahun ini UMT telah menawarkan program pengajian kepada 2,736 orang pelajar Sarjana Muda dan mereka telah membuat pendaftaran secara dalam talian pada 28 September 2023. Ini menunjukkan peningkatan berbanding sesi sebelumnya yang hanya mencatatkan 2,157 orang pelajar.

Katanya lagi semua pelajar baharu akan mengikuti Program Minggu Jalinan Mesra (MJM) bermula 1 Oktober 2023 hingga 7 Oktober 2023 bagi memberi pendedahan tentang proses pembelajaran dalam kampus dan budaya kehidupan sebagai pelajar di UMT. Di sepanjang program ini, pelajar juga akan dibimbing oleh fasilitator dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pelajar senior.