CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Digesa Perkasakan AKUATROP dan INOS Sebagai Pusat Rujukan Kecemerlangan Di Peringkat Kebangsaan

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah membuat lawatan kerja rasmi ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 30 Julai 2023. Ketibaan beliau telah disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, YBhg. Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod dan Naib Canselor UMT, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar. Dalam sesi lawatan tersebut, beliau telah menggesa UMT untuk meningkatkan keterlihatan bidang tujahan “Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik” bagi membangunkan masyarakat dan kelestarian kemajuan negara. Beliau juga berhasrat agar UMT dapat memperkasakan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) serta Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) sebagai pusat rujukan kecemerlangan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Hasil kajian yang telah dijalankan oleh AKUATROP yang berfokuskan bidang akuakultur ini bukan sahaja mampu melahirkan graduan berpengetahuan malah mampu memupuk budaya akuakultur sebagai sumber pendapatan dalam masyarakat.