UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Meterai Perjanjian Dengan UNHAS Indonesia

UMT telah memeterai semula jalinan kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMT dan Universitas Hasanuddin (UNHAS) pada 10 Jun 2023 bertempat di UNHAS Hotel & Convention Centre, Makassar Indonesia. Menurut Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar, UMT dan UNHAS amat akrab dalam memacu kecemerlangan bidang kelautan dan perikanan serantau. Lokasi strategik kedua-dua universiti ini yang sinonim dengan komuniti nelayan dan persekitaran laut menjadikan usaha serta semangat kebersamaan ini akan terus diperkasa. Selain itu, pelbagai aktiviti dan program telah dijalankan sepanjang kerjasama ini termasuk penganjuran bersama Persidangan Simposium Antarabangsa Kelautan dan Perikanan serta aktif dalam program inbound dan outbound untuk kakitangan juga mahasiswa kedua-dua institusi. Turut hadir Pengarah Perikanan Tangkapan, Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia, YBhg. Dr. Agus Suherman; Rektor UNHAS, YBhg. Prof. Dr. Jamaludin Jompa; wakil dari sektor kerajaan, swasta dalam dan luar negara.