Bertakwalah kamu kepada Allah dengan beristiqamah di atas ketaatan kepada segala perintahNya dan menjauhi daripada segala laranganNya, kerana beristiqamah dalam melaksanakan ibadah merupakan perangai orang-orang yang menuju keredhaan Allah dan adat orang-orang yang soleh, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah “Tuntutan Beristiqamah Dalam Beribadah”.
Sifat beristiqamah pada umumnya, membawa maksud berpegang teguh pada akidah Islam dan melaksanakan syariatnya dengan berterusan, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan. Sifat yang mulia ini menjadi tuntutan Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.. Firman Allah dalam surah Fussilat, ayat 6 yang bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad! Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada aku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Esa. Maka hendaklah kamu teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa kepada mencapai keredhaanNya serta pohonlah kepadaNya mengampuni dosa-dosa yang telah lalu dan ingatlah kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain.”
Ayat ini diperkuatkan pula dengan sebuah hadith iaitu seorang sahabat memohon kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata, “Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepada aku sesuatu yang paling penting dalam Islam yang aku tidak perlu bertanya lagi kepada seseorang yang lain daripada mu. Baginda menjawab, Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah (tetap menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya).” (Riwayat Muslim)
Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Jelasnya, segala amalan yang dapat dirumuskan dalam pengertian ibadah, sama ada fardu ain, fardu kifayah atau amalan-amalan sunat memerlukan istiqamah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Wahai manusia! Hendaklah kamu melakukan amalan-amalan sunat setakat mana yang kamu mampu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa jemu sehingga kamu merasa jemu dan sesungguhnya amalan-amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara berterusan sekalipun sedikit.” (Riwayat Muslim)
Imam Nawawi pernah berkata bahawa hadith ini menggalakkan supaya dilakukan amalan secara berterusan, amalan yang sedikit yang dilakukan secara berterusan adalah lebih baik daripada amalan banyak yang dilakukan secara berputus-putus, kerana amalan yang dilakukan secara berterusan sekalipun sedikit, ia melambangkan ketaatan, kerajinan dan muraqabah yang berterusan. Sudah pasti Allah membalasnya dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Biasanya pada bulan Ramadhan kita dapati ramai dari kalangan Muslimin dan Muslimat yang bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah kepada Allah dengan melakukan solat fardu secara berjemaah pada setiap waktu di masjid dan surau, mengerjakan solat-solat sunat, membaca Al-Quran secara bersendirian atau secara bertadarus, qiamulail dan sebagainya. Malangnya, sebaik sahaja Ramadhan berakhir suasana tersebut pun turut berakhir, keadaannya berubah serta-merta kembali kepada asal, seolah-olah amalan-amalan tersebut hanya dituntut pada bulan Ramadhan semata-mata, atau seolah-olah dalam sepanjang tahun itu cukuplah dengan beribadah satu bulan Ramadhan sahaja.
Situasi yang sama juga berlaku pada sebahagian daripada kaum muslimin dan muslimat yang berkesempatan mengunjungi tanah suci Mekah dan Madinah untuk melakukan ibadah haji atau umrah. Semasa berada di sana ibadah tersebut dapat dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Namun, sebaik sahaja pulang ke kampung halaman, ibadah-ibadah tersebut pun terhenti, tidak lagi diteruskan, seolah-olah ia hanya khusus untuk tanah suci sahaja. Memang tidak dinafikan bahawa kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan dan pada tanah suci lebih besar ganjarannya berbanding dengan bulan-bulan yang lain dan tempat-tempat yang lain. Namun, bukan bererti hanya pada bulan Ramadhan dan di tanah suci sahaja yang kita perlu mendekatkan diri kepada Allah dengan berbagai ibadah, sedangkan bulan-bulan yang lain dan di tempat-tempat yang lain diabaikan langsung. Sepatutnya, di bulan Ramadhan dan semasa di tanah suci itu dijadikan sebagai masa untuk melatih dan membiasakan diri dengan ibadah-ibadah tersebut supaya ia dapat diteruskan selepas bulan Ramadhan dan selepas kembali ke kampung halaman, kerana tuntutan ibadah-ibadah tersebut.
Ubahlah sikap lama kita yang suka beribadah hanya pada musim-musim tertentu dan tempat-tempat tertentu kepada sikap baru, iaitu beribadah secara beristiqamah, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Sentiasalah mendampingi Allah dengan amalan-amalan sunat, semoga hidup kita dalam peliharaan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w., bahawa Allah berfirman yang bermaksud, “Hamba Ku sentiasa mendekatkan dirinya kepada Ku dengan amalan-amalan sunat hingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku mencintainya, Aku memelihara telinganya, matanya, tangannya, dan kakinya dari melakukan perkara yang buruk. Dan jika dia meminta daripada Aku, Aku akan memberikannya, dan jika dia meminta perlindungan kepada Aku, nescaya Aku akan melindunginya.” (Riwayat Bukhari)
Bagi menjana sikap istiqamah dalam beribadah ini, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan, antaranya :-
Pertama : Memiliki ilmu secukupnya. Ilmu pengetahuan adalah perkara yang mesti dipelajari terlebih dahulu baru ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna, kerana tidak mungkin seseorang itu dapat menumpukan kepada sesuatu yang ia sendiri tidak mengetahui hakikatnya. Ilmu juga memastikan seseorang Muslim itu tidak melaksanakan ibadah sekadar ikut-ikutan tanpa memahami tuntutan sebenar ibadah tersebut. Umar Ibnu Abdul Aziz r.a. berkata, “Sesiapa yang melaksanakan amalan tanpa ilmu adalah kerosakannya lebih banyak daripada kebaikan.”
Kedua : Berkawan dengan orang-orang yang beristiqamah. Orang-orang yang berjiwa istiqamah akan berbuat kebajikan, nasihat-menasihati dan tidak mudah berputus asa serta sabar dalam melaksanakan ibadah. Justeru, kita perlu berhati-hati memilih kawan kerana natijah besar daripada berkawan dalam mempengaruhi pemikiran dan akhlak kita. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Seseorang itu akan mengikut agama kawan rapatnya. Oleh itu hendaklah seseorang kamu memerhatikan dengan siapa yang ia berkawan rapat.” (Riwayat Tarmizi)
Ketiga : Menghayati sirah orang-orang yang beristiqamah dan mencontohi mereka. Sirah atau sejarah hidup orang-orang yang beristiqamah wajar dibaca dan dihidupkan di dalam diri kita. Dengan cara ini, pengaruh positif mereka bakal meninggalkan kesan yang baik dalam mencontohi kehidupan mereka, dari segi kegigihan dalam menuntut dan menyampaikan ilmu serta beramal dengan ilmu mereka.
Keempat : Bersungguh-sungguh melawan nafsu. Kita perlu memaksa diri untuk melawan nafsu malas, yang menghalang daripada beribadah atau suka menangguh amalan baik. Segala kesulitan dalam berhijrah melawan nafsu adalah ujian yang perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh, serta sabar.
Kelima : Memperbanyakkan doa memohon pertolongan daripada Allah. Kita perlu memperbanyakkan doa memohon pertolongan Allah s.w.t., kerana pada hakikatnya kita tidak akan mampu melaksanakan semua itu kecuali dengan pertolongan Allah s.w.t.
Jelaslah bahawa istiqamah merupakan keperluan asas dalam segenap ibadah kerana ia adalah bukti ketaatan serta kecintaan seseorang hamba kepada Allah. Meskipun ibadah yang kita lakukan itu kecil sahaja tetapi jika dilaksanakan secara istiqamah, maka ia lebih disukai oleh Allah berbanding yang besar tetapi tidak disertai dengan sikap istiqamah.
[Petikan khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 14 Oktober 2016]