Pelajar yang menjadi mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) UMT
Setakat ini, seramai 31 orang pelajar UMT telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang ditempatkan di Kompleks Siswa UMT. Mereka telah berpindah setelah kediaman mereka yang berada di luar kampus UMT dinaiki air banjir.
Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, pihak UMT telah membuka operasi Bilik Gerakan Banjir dan PPS yang dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus (JPLK).
Selain itu, Bahagian Keselamatan, Kolej Kediaman, Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL), Pejabat Pembangunan dan Harta (PPH), Pusat Kesihatan Universiti, dan lain-lain jabatan turut membantu bertindak sebagai ‘frontliner’ di Bilik Gerakan Banjir UMT.
Beliau juga berharap ibubapa tidak perlu risau kerana pelajar yang ditempatkan di PPS UMT akan diberikan makanan secara berkala dan kesihatan mereka juga akan dipantau dari semasa ke semasa. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan bantuan peralatan asas bagi kegunaan PPS UMT seperti tikar, selimut, kain pelikat dan kain batik. Pelajar yang terkesan banjir juga akan didaftarkan di bawah NADMA dan JKM.