UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Mencari Rezeki Dengan Keringat Sendiri

Harta menurut pandangan Islam merupakan wasilah atau perantaraan kepada mencapai kehidupan yang baik, menjadi alat bagi melakukan kebajikan dan berinfaq pada jalan Allah. Oleh itu, adalah menjadi suatu tanggungjawab setiap insan supaya berusaha bagi menghasilkannya secara halal, sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam.

Islam juga menyeru dan menggesa umatnya supaya menjadi umat yang aktif, sentiasa berusaha mencari rezeki di atas muka bumi ini dengan daya usaha sendiri dan menegah mereka daripada menjadi umat yang pasif, malas bekerja, mengganggur serta suka bergantung hidup dengan pemberian dan bantuan orang lain. Firman Allah SWT dalam surah Al-Jumaah ayat 10 yang bermaksud, “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati dari limpahan kurniaan Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak dalam segala keadaan supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”

Rasulullah SAW juga menyebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Miqdad r.a. denga sabdanya yang bermaksud, “Tiada ada makanan yang dimakan oleh seseorang itu, lebih baik daripada ia memakan makanan yang hasil dari usaha tangannya sendiri dan sesungguhnya adalah Nabi Allah Daud a.s. memakan makanan yang hasil dari usaha tangannya sendiri.” (HR Bukhari)

Insan yang hebat yang disukai Allah ialah insan yang berdikari, yang rajin berusaha, mencari rezeki untuk menyara hidup diri sendiri dan keluarga tanpa bergantung kepada bantuan dan belas kasihan orang lain, sebagaimana hadis riwayat daripada Saidina Ali r.a. yang berkata : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, apakah pekerjaan yang paling baik?” Rasulullah SAW bersabda, “Seorang lelaki yang bekerja dengan tangannya dan tiap-tiap jual beli yang baik, kerana sesungguhnya Allah suka kepada mukmin yang bekerja, dan sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyara hidup keluarganya adalah sama seperti orang yang berjihad pada jalan Allah.” (HR Ahmad)

Hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa :-

Pertama : pekerjaan yang paling baik di sisi Islam ialah pekerjaan yang dijalankan dengan kemahiran tangan sendiri, seperti pertanian, perniagaan, penulisan dan pertukangan atau kraftangan.

Kedua : pekerjaan yang paling baik di sisi Islam ialah perniagaan yang diterima di sisi Allah dengan diberi pahala kepada pelakunya, iaitu perniagaan yang dijalankan secara jujur dan bersih daripada segala bentuk penipuan dan pengkhianatan.

Ketiga : orang yang bersusah-payah demi mencari rezeki yang halal untuk menyara hidup diri sendiri serta keluarga, akan diberi ganjaran pahala seperti orang yang berjihad pada jalan Allah.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang memiliki peluang pekerjaan secara meluas dalam pelbagai sektor, berbanding dengan sesetengah negara ASEAN yang lain. Namun, masih terdapat juga ramai dari kalangan rakyat Malaysia sendiri yang mengganggur, sedangkan mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia setakat 30 Jun 2017 yang lalu menunjukkan lebih daripada 1.7juta orang pekerja asing yang sah berada di negara ini.

Ini adalah statistik pekerja asing yang sah, tidak termasuk pendatang tanpa izin lagi. Soalannya, kenapa rakyat Malaysia tidak merebut peluang-peluang pekerjaan ini bagi mencari rezeki yang halal? Sedangkan peluang itu berada di tanahair kita sendiri. Malah lebih menyedihkan lagi, terdapat dalam kalangan belia kita yang suka membuang masa daripada bekerja.

Perlu diingatkan bahawa bekerja mencari rezeki yang halal bagi menyara hidup diri sendiri dan keluarga adalah suatu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah. Islam melarang umatnya daripada menjadi pengganggur, pengemis dan hanya menadah tangah memohon simpati orang lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Seseorang daripada kamu mengambil tali, kemudian pergi ke bukit, lalu memikul seberkas kayu api atas belakangnya untuk dijual, dengan itu Allah menyelamatkan air mukanya daripada kehinaan, lebih baik baginya daripada menadah tangan memohon sedekah daripada manusia, sama ada permohonannya itu diberi atau tidak.” (HR Bukhari) Hadis ini menunjukkan bahawa dalam Islam tidak ada istilah mengganggur dan tidak ada juga istilah malu dalam mencari rezeki melalui pekerjaan yang halal.

Berdasarkan keterangan-keterangan tadi bolehlah disimpulkan seperti berikut :-

Pertama : salah satu daripada sebab kebahagiaan hidup adalah mempunyai harta yang mencukupi untuk menampung keperluan hidup diri sendiri serta keluarga.

Kedua : berusaha mencari harta yang halal bagi menampung keperluan hidup diri sendiri serta keluarga adalah suatu kewajipan.

Ketiga : menadah tangan memohon simpati orang lain, bagi orang yang masih mampu berusaha sendiri adalah satu perbuatan yang hina dan dilarang oleh Islam.

Keempat : semua jenis pekerjaan yang halal adalah baik, tidak ada yang cacat-cela. Apa yang menjadi kecelaannya ialah perbuatan orang yang malas, yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan harta tanpa mempedulikan halal atau haram.

Kelima : insan yang berjaya ialah insan yang berusaha mencari rezeki yang halal dengan keringat dan daya usahanya sendiri tanpa bergantung harap kepada bantuan orang lain.

Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah ayat 105 yang bermaksud, “Dan katakanlah wahai Muhammad : Beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 17 November 2017]