UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Latihan Kebakaran Bangunan Canselori

KUALA NERUS, 13 Mac – Suasana pagi di bangunan Canselori dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat dan bunyi loceng kebakaran yang tidak berhenti-henti. Kemudian kawasan pejabat diselimuti asap tebal dan semua staf bertindak pantas meninggalkan bangunan ke tempat berkumpul di Dataran Canselori. Sejurus selepas itu, kedengaran bunyi siren pasukan BOMBA tiba di tempat kejadian.

Namun, itu hanyalah gimik latihan kebakaran dan pengunsian Bangunan Canselori yang diadakan oleh Bahagian Keselamatan UMT dengan kerjasama pasukan BOMBA Kuala Nerus.

Menurut Ketua Bahagian Keselamatan UMT, Encik Aisamuddin A. Jalil, program ini diadakan untuk memberikan pendedahan kepada staf mengenai tindakan segera yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran. Latihan ini dimulakan pada jam 8.30 pagi dan staf turut diberikan pendedahan mengenai teknik-teknik memadamkan api kebakaran menggunakan alat pemadam api jenis debu kering.

“Bangunan Canselori pernah terbakar pada 21 Mac 2013. Oleh sebab itu, bangunan ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi kerana menempatkan pejabat pentadbiran utama UMT dan mengandungi banyak dokumen-dokumen sulit universiti. Latihan ini sudah tentu amat penting untuk dilaksanakan secara berkala agar staf sentiasa peka dan pantas mengambil tindakan sekiranya berlaku kebakaran,” katanya selepas selesai program latihan.

Sementara itu, menurut Rosnah Ahmad yang merupakan staf di Pejabat Naib Canselor, latihan ini mengimbau kembali kejadian kebakaran Pejabat Naib Canselor UMT pada 21 Mac 2013.

“Pada ketika itu, saya dan rakan-rakan sedang bekerja seperti biasa di pejabat. Tiba-tiba api menitik jatuh dari penghawa dingin dan jatuh ke permaidani pejabat dan terus membakar pejabat. Kami cuba memadamkan kebakaran tetapi tidak berjaya kerana api marak dengan begitu cepat. Jadi apabila saya terdengar sahaja bunyi loceng kebakaran pagi tadi, saya terus bergegas meninggalkan pejabat,” katanya lagi.