CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Lukisan Mural 3D Segarkan Minda Pelajar

 

KUALA NERUS, 3 Mac – Bangunan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT diceriakan melalui Program Mewarna Mural PSNZ yang melibatkan kerjasama pelajar UMT dan kakitangan PSNZ dengan bimbingan pelukis tempatan. Program ini telah dimulakan pada awal bulan Februari 2018 dan ia melibatkan 3 fasa. Fasa 1 ialah lukisan mural yang dinukilkan di dinding Auditorium dan tangga PSNZ.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, idea untuk mewarna dinding-dinding bangunan di UMT dengan lukisan 3D tercetus selepas beliau mengikuti program lawatan kerja ke USA pada tahun lepas. Oleh itu, inisiatif untuk menghasilkan lukisan mural ini dilaksanakan di Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah yang menjadi tempat tumpuan pelajar universiti.

“Lukisan mural 3D yang berlatar belakang bidang tujahan dan kepakaran UMT ini amat menarik dan ia dihasilkan dengan kerjasama pelukis tempatan, staf dan pelajar UMT. Ia mewujudkan suasana persekitaran yang lebih ceria dan menyegarkan minda pelajar untuk menimba ilmu di universiti. Kami akan meneruskan usaha murni ini di bangunan-bangunan yang lain. Kami juga mengalu-alukan pihak korporat untuk menaja inisiatif ini dengan memberikan sumbangan dana, peralatan atau kepakaran,” katanya selepas merasmikan Lukisan Mural 3D di Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT pada hari ini.

Turut hadir ialah Pendaftar UMT, Prof. Dr. Nor’Aini Haji Ali; Bendahari UMT, Puan Zahara Kedri dan Ketua Pustakawan, Encik Abu Hassan Ghazali.