CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Lancarkan Projek Penyelidikan Translational Kuda Laut Dan Belangkas

SETIU, 23 Julai – UMT meneruskan usaha inovasi sosial membangunkan komuniti apabila melancarkan projek penyelidikan translational iaitu Program Pemeliharaan Kuda Laut dan Belangkas Untuk Komuniti Setiu pada hari ini. Program ini merupakan perkongsian ilmu dalam membangunkan komuniti setempat dan merupakan salah satu projek yang menepati kerangka sasaran capaian masyarakat dalam pembangunan negara selari dengan perancangan TN50.

Majlis pelancaran projek penyelidikan translational ini telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia bertempat di Perkarangan Jeti Gong Batu, Setiu Wetlands, Setiu, Terengganu. Turut hadir di majlis tersebut ialah Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT.

“Projek pemeliharaan kuda laut akan memberikan manfaat kepada 100 keluarga dengan anggaran pendapatan bulanan bagi setiap keluarga sebanyak RM4,500.00. Manakala projek penyelidikan belangkas akan memberikan manfaat kepada 205 penduduk dari 14 buah kampung dalam daerah Setiu. Projek-projek ini adalah hasil penyelidikan UMT dan ia akan memberi impak kepada komuniti tempatan dari segi peningkatan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada nelayan. Malah ia menjadi daya tarikan baharu pelancongan bagi negeri Terengganu,” kata Dato’ Seri Idris Jusoh.

Projek pemeliharaan kuda laut atau ‘unduk’ diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Effendy Abd. Wahid manakala projek penyelidikan belangkas diketuai oleh Prof. Madya Dr. Noraznawati Ismail bersama-sama dengan pasukan penyelidik masing-masing.