CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Terengganu

Kuala Nerus, 3 Mei – UMT dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengadakan Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Terengganu pada hari ini bertempat di Dewan Sultan Mizan, UMT. Sambutan ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan warga komuniti mengenai kaedah pencegahan dan pengawalan penyakit kanser. Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Yang DiPertua DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong. Turut hadir adalah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Pengarah JKNT, Dr. Mohammad Omar.

Menurut Dr. Mohammad Omar, negeri Terengganu telah mencatatkan bilangan pengidap kanser kolorektal atau usus yang tinggi. Malah pihaknya telah merekodkan peningkatan tiga kali ganda bagi kes kanser usus pada tahun 2017 berbanding tahun lepas dan ini menjadikan jenis kanser itu kedua tertinggi selepas kanser payudara. Setakat bulan Mac 2017, seramai 1,039 pesakit kanser usus telah berjaya dikenalpasti selepas menjalani pemeriksaan kesihatan. Jumlah ini agak membimbangkan dan pihaknya masih belum mengenalpasti punca sebenar kanser usus namun beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada faktor pemakanan dan amalan gaya hidup yang tidak sihat. Justeru, beliau menggesa golongan yang berusia 50 tahun dan ke atas untuk membuat pemeriksaan awal bagi membantu untuk mengesan penyakit ini.