UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Kepentingan Ilmu dan Bahaya Kejahilan

picture1

Sesuai dalam suasana alam persekolahan sesi 2017 yang baru bermula, pada hari Jumaat yang mulia ini, mimbar mengajak sidang Jumaat memberi perhatian tentang kepentingan ilmu dan bencana kejahilan. Ilmu bermaksud memahami atau mengetahui sesuatu dengan jelas dari segi syarak, ilmu hendaklah mengandungi kebaikan dan ia menjadi faktor penghargaan Allah kepada pemiliknya. Ilmu seperti inilah yang dimaksudkan oleh hadis Nabi Muhammad s.a.w. iaitu, “Sesiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah sudah pasti diberikan kefahaman (ilmu) dalam agama.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Sabda baginda lagi, “Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan wang dinar atau dirham. Sesungguhnya mereka hanya mewariskan ilmu.” (Riwayat Tarmizi dan Abu Daud)

Terbukti ilmu para Rasul dan Nabi yang mendapat penghargaan Allah ialah ilmu syariat. Tanpa ilmu ini, seseorang itu dianggap jahil meskipun dia mempunyai ilmu atau pengetahuan yang meluas tetapi tanpa kaitan dengan syariat. Dalam pada itu, ilmu-ilmu bukan syari’ie tidak dinafikan kepentingan selagi boleh membantu ketaatan kepada Allah, agama dan menyumbang kepada kebajikan hamba-hambaNya. Kepentingan kepada ilmu bukan syar’ie boleh menjadi sangat kritikal dan wajib dalam sesetengah situasi seperti firman Allah taala dalam surah Al-Anfal ayat 60 yang bermaksud, “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Berdasarkan kepada perintah Allah dalam surah Al-Anfal itu dapat difahami, jika untuk mencipta kekuatan yang boleh menggerunkan musuh-musuh Islam itu perlu kepada kelebihan ilmu bukan syar’ie, maka berkewajipanlah umat Islam mendapatkannya. Justeru, ulama berpendapat mempelajari ilmu berkaitan dengan keperluan umat Islam adalah fardhu kifayah kerana ia boleh membantu agar tidak bergantung kepada golongan bukan Islam.

Dari sini dapat dibuat rumusan bahawa maksud ilmu yang mendapat pengiktirafan agama ialah ilmu syarak iaitu memahami kitab Allah dan sunnah Rasulullah, juga lain-lain ilmu pengetahuan yang membawa kepada kebaikan dari segi syarak. Sebaliknya ilmu yang tidak mendekatkan diri kepada Allah, apatah lagi membawa kepada keingkaran kepada Allah dan syariatNya tidak diiktiraf sebagai ilmu dan sesiapa yang terlibat dengannya berada dalam bencana dan dikira berada dalam jahiliah.

Berdasarkan konsep ilmu dalam Islam itu, maka keterlibatan kita, anak-anak dan generasi muda kita, mencari dan menuntut ilmu sama ada melalui pengalaman, pembacaan atau persekolahan, amat dituntut dan dihargai selagi ilmu-ilmu itu mampu mendekatkan diri kepada Allah, agama dan demi untuk kepentingan umatnya.

Ilmu yang dikategorikan sebagai akademik perlu diolah dan diberi pendekatan syarak. Apa jua yang dipelajari sangat penting dan mendapat pengiktirafan, dengan syarat ia menjadi wasilah bagi membantu seseorang membentuk diri sebagai hamba Allah yang dicipta untuk tunduk dan patuh kepadaNya dan syariatNya.

Hakikat ini perlu difahami benar-benar oleh para ibubapa dan tenaga pengajar, supaya dengan itu tercapai matlamat pendidikan dan menuntut ilmu dalam Islam, iaitu mendekatkan diri kepada Allah, menjalani kehidupan mematuhi syarak, bersedia membela agama dan membawa kebaikan kepada umatnya. Di samping ilmu menjadi wasilah mengabdikan diri kepada Allah, terdapat pelbagai kelebihan seperti berikut :-

  1. Ilmu tetap kekal, tidak seperti harta kekayaan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Apabila mati seorang anak adam terputuslah amalannya kecuali tiga perkara : sedekah jariah (wakaf), ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang mendoakan kebaikan baginya.”
  2. Menuntut ilmu bererti menerima pusaka para nabi yang kaya dengan rahmat dan kasih sayang Allah.
  3. Ilmu yang bermanfaat, memelihara dan menjadikan kehidupan seseorang lebih murni, bersih, bermaruah dan mulia.
  4. Mencari ilmu bererti merentas jalan ke syurga.
  5. Ilmu adalah cahaya yang menerangi hati untuk mengenal Allah dan melicinkan perhubungan sesama manusia.
  6. Allah mengangkat martabat orang berilmu yang beriman.

Kelebihan ilmu makin terserlah dengan menginsafi bahaya dan bencana kejahilan seperti :-

  1. Membuka jalan kepada syirik, bidaah dan kesesatan.
  2. Mencetuskan masalah kepada keluarga, persekitaran, masyarakat dan organisasi.
  3. Menyuburkan akhlak keji, maksiat dan jenayah.
  4. Menjalani hidup tanpa matlamat yang jelas.
  5. Mendedahkan diri kepada kemurkaan dan neraka Allah.

Marilah kita mengubah sikap terhadap ilmu yang memberi manfaat bagi kehidupan dunia dan akhirat dengan memuliakan para pendidik dan ulama, mendampingin mereka, tidak pernah berhenti menuntut ilmu, memberi sokongan dan berkorban apa sahaja demi menghapuskan kejahilan dalam kalangan keluarga dan masyarakat.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 6 Januari 2017]