Sesungguhnya saya mewasiatkan saudara dan diri saya dengan bertakwa kepada Allah dengan menuruti jejak langkah RasulNya yang mulia. Tajuk khutbah Jumaat penghulu segala hari ini, ialah “Berubah Untuk Hidup Mulia” sempena menjelang tahun baharu 1438 Hijrah. Setiap menjelang dan munculnya saat, hari, bulan dan tahun, kita hendaklah perihatin dan menginsafi hikmah yang tersirat daripadanya. Ia sangat berkait dengan masa depan setiap insan muslim. Justeru, pemilihan hijrah sebagai detik bermula tahun rasmi umat Islam sangat tepat dan penuh hikmah.
Allah s.w.t. telah mengilhamkan kepada khalifah Umar bin Khatab r.a. supaya memilih di antara peristiwa-peristiwa lain yang tidak kurang pentingnya. Hal ini dapat dibuktikan bagaimana dakwah Islam begitu pantas berkembang dan sekaligus merubah peta kota-kota arab. Daripada hanya penempatan jahiliah kepada wilayah-wilayah penduduk muslim yang kemudiannya mencipta tamadun berjaya yang menyinari dan diberkati. Hijrah dalam sejarah ialah perpindahan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda daripada kota Mekah ke Yathrib (Madinah) demi dakwah yang lebih berkesan. Namun di sebalik peristiwa itu, berlaku penghijrahan dalaman iaitu berhijrah daripada sesat kepada hidayah, daripada akur kepada kemahuan dan kepentingan diri kepada tunduk kepada Allah s.w.t. dan meraih keredhaan Allah, daripada dosa dan maksiat kepada taubat dan keampunan. Perubahan itu terus berjalan selari dengan perubahan atau pertukaran hari, bulan dan tahun. Daripada satu tahap kepada satu tahap sehingga seluruh hidup muslim yang mulia itu merupakan peningkatan dan pencapaian kepada keredhaan Allah s.w.t.
Terbukti bahawa peristiwa hijrah adalah tafsiran kepada firman Allah dalam surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak merubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada Allah.” Apa yang dimaksudkan dengan perubahan itu, di antara lain ialah mengambil faktor-faktor yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, kepada rahmat dan ihsanNya di samping menghindari perkara-perkara yang mengundang kemurkaan dan laknat Allah. Hal ini makin jelas lagi jika dikaitkan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa jua yang dilarang oleh Allah.” Hadis ini juga berperanan sebagai penawar kepada para sahabat yang tidak dapat turut serta berhijrah ke Madinah, di samping memberi motivasi kepada generasi kemudian menghayati falsafah hijrah, walaupun setelah berlalu lebih 1400 tahun yang lampau. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Tiada lagi kewajipan berhijrah ke Yathrib atau Madinah selepas pembukaan kota suci Mekah.”
Ruang berhijrah dari sudut meninggalkan larangan Allah, sangat terbuka dan sesiapa sahaja berpeluang melaksanakannya. Sebagai contoh, kita ambil tiga anggota badan iaitu mata, telinga dan lidah sebagai alat untuk dilakukan penghijrahan. Pertama, mata untuk melihat, tetapi bukan untuk melihat perkara yang lagha dan maksiat. Sebaliknya beralihlah dan biasakan melihat atau menatap perkara yang baik dan dituntut seperti menumpukan perhatian kepada Al-Quran, menelaah buku yang bermanfaat, melihat ciptaan Allah yang boleh menebalkan lagi keimanan, menatap wajah ibubapa, isteri dan anak-anak dengan penuh kasih sayang, menyaksikan gelagat orang ramai hingga terpanggil untuk berkongsi membina masyarakat yang harmoni. Kedua, telinga untuk mendengar. Ubahkan kebiasaan mendengar hiburan melalaikan, perbualan atau ucapan-ucapan kosong kepada menikmati kemerduan tilawah al-Quran dan menekuni butiran ceramah atau kuliah yang mendorong kepada keimanan, kebangkitan roh Islam dan melakukan perkara-perkara makruf. Ketiga, melalui lidah kita perlu berhijrah daripada percakapan yang sia-sia, kata-kata yang boleh menjatuhkan maruah diri dan orang lain, cakap-cakap yang menghapuskan pahala atau boleh mencetuskan fitnah sama ada melalui lisan atau media sosial. Berubahlah kepada membiasakan diri bercakap perkara yang berfaedah, yang mencerminkan keperibadian Islam, melafazkan perkara yang makruf seperti membaca al-Quran, berzikir, berdakwah dan memberi saranan yang membina atau menasihati dengan penuh hikmah.
Kesimpulannya, yakinlah bahawa tiga anggota itu adalah anugerah Allah yang sangat berhikmah. Jika dimaksimakan manfaatnya boleh menjernihkan hati. Hati yang bersih, murni dan sejahtera menghasilkan kebaikan kepada seluruh kehidupan jasmani dan rohani. Justeru, bermuhasabahlah dan lakukan penghijrahan yang bersungguh-sungguh supaya hidup lebih mulia di dunia dan di akhirat. Allah s.w.t. berfirman dalam surah An-Nahl, ayat 97 yang bermaksud, “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
SALAM MAAL HIJRAH 1438H
[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 30 September 2016]