Rabu, 31 Ogos 2016
Hari ini, 31 Ogos 2016, Malaysia menyambut Hari Kebangsaan yang ke-59. Detik-detik bersejarah menyambut hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 pasti menggamit seribu kenangan kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang menyaksikan secara langsung hari bersejarah tersebut. Kemerdekaan merupakan satu nikmat yang amat bernilai. Pada zaman dahulu, kemerdekaan seseorang hamba sahaya oleh tuannya amatlah bernilai. Nikmat kebebasan daripada cengkaman penjajahan fizikal dan mental juga merupakan satu nikmat yang amat tinggi nilainya. Namun, mempunyai jiwa yang merdeka daripada kejahilan kepada ketauhidan kepada Yang Maha Esa lebih dituntut dan lebih diutamakan.
Setiap Perjuangan Mesti Ada Pengorbanan
Setiap perjuangan mesti ada pengorbanan, dan setiap pengorbanan mesti ada harga yang perlu dibayar. Jika diimbau kembali detik-detik bersejarah hari kemerdekaan negara pada 59 tahun yang lalu, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan telah mengharungi pelbagai ranjau dan duri memimpin rakyat bagi membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Mereka telah mengorbankan nyawa, harta-benda dan kedudukan bagi menentang dan membebaskan tanah air daripada penjajah sejak dari tahun 1511, iaitu apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis. Antara tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan ialah Dol Said, Tok Janggut, Mat Salleh, Hj. Abdul Rahman Limbong, Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, dan ramai lagi. Masing-masing mempunyai kaedah dan cara tersendiri sama ada perjuangan bersenjata atau perjuangan melalui meja rundingan. Namun, matlamat mereka adalah sama iaitu membebaskan negara tercinta daripada penjajah dan mengembalikan pemerintahan negara kepada rakyat Malaysia.
Sehati Sejiwa Perpaduan Negara
Setelah negara merdeka pada tahun 1957, cabaran getir negara ialah mengisi dan mempertahankan kemerdekaan negara. Setiap tahun Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dengan pelbagai tema untuk mencerminkan jiwa merdeka rakyat Malaysia. Tema sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 pada tahun ini ialah “Sehati Sejiwa”. Ia menggambarkan perpaduan, kesatuan dan muafakat merupakan tonggak dalam membina bangsa bertamadun dan membangunkan negara. Walaupun Malaysia mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, rakyat Malaysia perlu bersatu padu mempertahankan kemerdekaan negara dan berganding bahu mengharungi rintangan yang ada. Dalam menghadapi insiden kehilangan MH370 dan tragedi MH17, seluruh rakyat Malaysia sehati sejiwa melahirkan rasa dukacita dan sedih atas apa yang berlaku. Rakyat Malaysia masih menaruh harapan agar peristiwa sedih itu akan diselesaikan jua suatu hari nanti. Begitu juga dalam Kejohanan Olimpik Rio 2016 baru-baru ini, walaupun tidak berjaya mendapat pingat emas, tetapi seluruh rakyat Malaysia sehati sejiwa memberikan sokongan padu kepada pasukan Badminton dan lain-lain atlet negara.
Cabaran Mempertahankan Negara
Di zaman yang serba canggih, di kala semuanya bermain di hujung jari sahaja, kadang-kadang kita lupa dan alpa akan tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan negara. Ancaman anasir luar, penyelewangan kuasa, hilangnya semangat patriotik di kalangan generasi muda, dan tidak menghargai sejarah serta pengorbanan orang-orang dahulu, antara cabaran yang perlu dihadapi dengan sehati sejiwa kerana ia boleh meruntuhkan nikmat kemerdekaan. Hal ini berlaku kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambah pendapatan semata-mata. Mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dalam kehidupan, contohnya tidak bersemangat untuk mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan.
Oleh itu, semangat patriotik dalam kalangan masyarakat harus dipulihkan dan ditingkatkan. Generasi muda perlu diterapkan dengan sejarah dan nilai sesebuah kemerdekaan kerana erti kemerdekaan itu bakal melahirkan kekuatan ekonomi negara. Mahasiswa dan mahasiswi universiti harus memainkan peranan sebagai ejen perubah dalam masyarakat. Segala ilmu yang diperoleh di universiti harus digunakan untuk meningkatkan semangat patriotik di kalangan generasi muda kerana mereka merupakan pewaris bangsa dan negara. Malah, pelbagai program boleh diadakan bagi memupuk kembali semangat patriotik di kalangan masyarakat seperti perkongsian pengalaman tokoh-tokoh pejuang negara, mengibarkan Jalur Gemilang dan sebagainya.
Justeru, semangat perpaduan perlu ditanam dan disuburkan agar rakyat Malaysia menghayati nilai dan semangat kemerdekaan sebenar. Roh dan semangat “Sehati Sejiwa” perlulah dihayati dan diinsafi. Jadilah rakyat yang setia kepada negara yang satu – Malaysia dan sejiwa dalam menempuh segala dugaan dan rintangan bersama demi negara tercinta.