UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Mensyukuri Syawal Dalam Merindui Ramadhan

Alhamdulillah, bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan telah seminggu meninggalkan kita dan kini kita berada di bulan Syawal, meraikan ketibaan Aidil Fitri dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Allah swt telah menghalalkan berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada 1 Syawal manifestasi kembali kepada fitrah kehidupan manusia. Anas r.a menyatakan bahawa Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam bilangan ganjil.

Kegembiraan Aidil Fitri wajar disambut dengan penuh kesederhanaan dan mengikut syariat yang diajar oleh Rasulullah SAW. Selain daripada menikmati juadah makanan, Rasulullah SAW menganjurkan agar kita menziarahi dan mengucapkan tahniah kepada saudara Muslim yang lain. Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi’in (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi SAW) telah berkata (maksudnya): Sahabat-sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan, “Semoga Allah menerima daripada kami dan menerima-Nya daripada awak.

Hari-Raya-Aidilfitri-Ucapan

Selain itu, Rasulullah SAW juga menganjurkan memakai pakaian yang sebaik-baiknya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias.

Namun, dalam keghairahan kita menyambut Aidil Fitri, bulan Ramadhan telah berlalu meninggalkan perasaan insaf mahupun gembira. Insaf apabila berjaya menundukkan hawa nafsu makan, dan minum. Insaf apabila sentiasa menyantuni golongan tidak berkemampuan, anak-anak yatim dan asnaf. Insaf apabila mengenangkan saudara-saudara Islam yang susah, sedang berperang, tiada makanan dan minuman. Insaf kerana terlalu banyak dosa yang dilakukan sedangkan puasa dan amal ibadah yang lain kurang dipraktikkan.

Malah, timbul juga perasaan gembira dan seronok bila mengenangkan bulan Ramadhan yang berlalu pergi. Gembira apabila dapat berbuka puasa dengan sanak-saudara. Gembira dapat mengerjakan solat tarawih. Gembira dapat mengerjakan solat secara berjemaah di masjid. Gembira dapat menginfaqkan harta menaja majlis berbuka puasa dan membantu golongan yang susah sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya”. Gembira dapat menghabiskan bacaan Al-Quran walaupun setelah sekian lama tidak membacanya. Gembira dapat menghadiri majlis-majlis ilmu dan berzikir kepada Allah.

Bagi golongan solihin, mereka begitu seronok apabila tibanya bulan Ramadhan dan mereka begitu sedih apabila tibanya bulan Syawal kerana memahami begitu bernilainya keberkatan bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.”

Namun, timbul persoalan apakah tarbiyah di bulan Ramadhan dapat diteruskan lagi di bulan-bulan seterusnya? Apakah kita akan dipertemukan semula dengan Ramadhan pada tahun akan datang? Apakah segala amalan diterima oleh Allah dan menjadikan kita di kalangan golongan bertakwa?

Usahlah dibiarkan masjid kembali lengan melainkan kita mengimarahkan masjid dengan solat fardhu secara berjemaah. Usahlah dibiarkan Al-Quran kembali berhabuk dalam almari melainkan kita membacanya walaupun selembar sehari. Usahlah berkira-kira untuk sedekah jariah melainkan kita menjemput rezeki dengan bersedekah walaupun seringgit sehari. Malah, usahlah dibiarkan Ramadhan berlalu pergi melainkan kita buktikan kerinduan dengan meneruskan amalan soleh pada setiap masa.

Selain itu, teruskanlah tarbiyah Ramadhan dengan melaksanakan puasa 6 hari di bulan Syawal sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.”

Semoga segala amalan kita diterima Allah dan diizinkan Allah bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan.

SelamatTinggalRamadhan-01-e1344572569813