UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

35 orang pelajar Kohort Pertama SULUNG 2.0 di UMT

Seramai 35 orang pelajar daripada 2,202 pelajar baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024  yang mendaftar pada 1 Oktober 2023 telah terpilih untuk menyertai kohort pertama Program SULUNG 2.0 di UMT.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, Program Pembangunan SULUNG 2.0 merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam keluarga B40 tetapi kurang berkemampuan.

Pada 30 September 2023, beliau telah menyantuni dan menyerahkan surat tawaran Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 2.0 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada 2 orang pelajar di sekitar Kuala Terengganu, iaitu Saudari Atikah Safie, Sarjana Muda Sains (Sains Marin) dan Saudari Nur Hazwani Nadia Zaimi, Sarjana Muda Sains (Sains Kimia).

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain turut menyerahkan surat tawaran kepada dua orang pelajar terpilih di negeri Kelantan. Seramai 115 pelajar terpilih akan diambil untuk mengikuti program SULUNG 2.0 di UMT membabitkan pengambilan pelajar baharu dan lama tanpa mengira tahun pengajian.