CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Pengenalan dan Fungsi Bahagian Audit Dalam


Kerajaan Malaysia telah menyarankan agar semua Badan Berkanun Kerajaan menubuhkan Unit Audit Dalam bagi menjalankan satu fungsi bebas dengan memeriksa dan menilai aktiviti Badan Berkanun berkenaan. Dasar Kerajaan ini digariskan dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 1979 dan Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1998 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri. Unit  Audit Dalam yang ditubuhkan adalah bertanggungjawab sepenuhnya kepada Ketua Eksekutif Badan Berkanun tersebut.

Dalam konteks Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Unit Audit Dalam telah ditubuhkan secara rasminya pada 1 Ogos 2002 yang diketuai oleh seorang Juruaudit Dalam Gred W41. Bermula dari 1 Jun 2009, nama Unit Audit Dalam telah ditukar kepada Bahagian Audit Dalam.  Bahagian Audit Dalam telah dibentuk strukturnya di bawah pentadbiran Pejabat Naib Canselor dan segala urusan pentadbiran, belanjawan dan operasi adalah dibawah tanggungjawab Naib Canselor. Kini, Bahagian Audit Dalam telah mempunyai 6 orang staf yang terdiri daripada seorang Ketua Audit Dalam (W52), 2 orang Juruaudit (W44/41), 2 orang Penolong Juruaudit (W27) dan seorang Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) (N17).

Bahagian Audit Dalam diwujudkan untuk membantu pihak pengurusan dalam mencapai objektifnya dan menentukan wujudnya akauntabiliti dalam pengurusan kewangan di semua peringkat. Bahagian Audit Dalam melaporkan penemuan audit berhubung dengan akaun, pengurusan dan penilaian program atau aktiviti UMT kepada Jawatankuasa Audit yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah Universiti yang dilantik.

Di antara fungsi utama Bahagian Audit Dalam, adalah –

 a)  Auditan Kewangan

Pengauditan ini menekankan kepada perkara-perkara organisasi dan peraturan-peraturan yang sepatutnya dipatuhi bagi perakaunan dan kawalan dalaman. Ia adalah bertujuan untuk menentukan bahawa segala pembayaran dibuat dengan teratur, hasil kerajaan dipungut dan diakaunkan dengan betul dan aset kerajaan dikenalpasti dan dikawal dengan betul. Pengauditan ini hendaklah juga menentukan sama ada sistem perakaunan dan rekod-rekod adalah sempurna dan boleh dipercayai supaya pihak pengurusan atasan boleh mendapat maklumat yang tepat dalam masa yang singkat.

 b)    Auditan Pengurusan

Pengauditan ini adalah berkaitan dengan tanggungjawab pengurusan dalam urusan penggunaan wang awam, aset, sumber manusia dan lain-lain sumber. Auditan pengurusan ini adalah merupakan pemeriksaan yang objektif dan analitikal terhadap kecekapan dan keberkesanan dalam setiap sumber yang diuruskan dan digunakan.