Home » INFO KORPORAT » Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)

Sat Nov 25, 2017
Waktu
Subuh 5:39 am
Syuruk 6:59 am
Zohor 12:55 pm
Asar 4:17 pm
Maghrib 6:50 pm
Isyak 8:01 pm

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)

PROFESOR DR. MAZLAN BIN ABD. GHAFFAR dilahirkan pada 18 April 1962 di Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Tengku Bariah, Kuala Terengganu pada tahun 1969 dan seterusnya melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah (Inggeris) Tengku Bariah, Kuala Terengganu pada tahun 1975 hingga tahun 1979. Setelah mendapat kelulusan Sarjana Muda Sains dalam bidang Perikanan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1985. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah Sarjana Sains dalam bidang Pengurusan Sumber Pesisir Pantai Tropika di Universiti Newcastle, United Kingdom pada tahun 1988. Kemudian, pada tahun 1997, beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Wales, United Kingdom dan dianugerahkan Ph.D pada tahun 2001.

Selepas menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Fakulti Sains dan Sumber Alam, UKM Kampus Sabah pada tahun 1989 hingga 1995. Beliau telah dilantik menjadi Ketua Jabatan Sains Laut pada tahun 1994 hingga 1997. Beliau juga bertanggungjawab membawa balik Jabatan Sains Laut ke Kampus Induk UKM Bangi pada akhir tahun 1995. Selepas menamatkan pengajian Ph.D dan kembali bertugas di UKM, beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya pada tahun 2003 dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Program, Pengerusi Pusat Pengajian dan juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) di Fakulti Sains dan Teknologi, UKM sehingga tahun 2012. Pada tahun 2008, beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor. Berdasarkan kepakaran dan keupayaan beliau dalam bidang Sains Perikanan, pada tahun 2014, beliau telah dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur, UMT dan sejak dari itu, beliau telah memimpin Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur UMT ke tahap yang lebih tinggi. Pada 1 April 2017, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT yang kedua.

Dalam bidang penyelidikan, beliau merupakan pakar dalam bidang iktiologi, biodiversiti ikan dan pengurusan sumber marin. Secara umumnya, beliau telah menerima Geran Penyelidikan bernilai melebihi RM11.0juta. Beliau telah dan sedang menyelia 18 pelajar Ph.D dan 20 pelajar Sarjana Sains sebagai penyelia utama dan beberapa yang lain sebagai penyelia kedua. Sepanjang kerjaya sebagai ahli akademik, beliau telah menerbitkan lebih daripada 280 artikel terindeks dan bukan terindeks, lebih 311 artikel terujuk, prosiding, penulisan buku, penulisan bab dalam buku dan penulisan laporan khas dengan nilai H indeks scopus 9.

Di samping melaksanakan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), beliau telah menubuhkan rangkaian penyelidikan yang meluas dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan menjadi penyelaras penyelidikan dan rakan usaha sama dengan pelbagai penyelidik cemerlang seperti daripada Smithsonian Muzium, Washington DC, Universiti Nagasaki, Institut Laut China Timur, National Science Museum for Nature, Tokyo, Universiti Pallermo, Sicily Italy , University of Hong Kong, Universiti Xiamen, Thailand Muzium Sains dan Sejarah Alam dan banyak lagi.   Beliau dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jaringan Pendidikan Perikanan ASEAN (ASEAN-FEN) pada tahun 2015, Ahli Majlis Pentadbiran Program Hubungan Antarabangsa (International Linkage Programm, ILP) bersama Gagasan Program Sarjana Perikanan Tropika Lestari bersama 6 Negera ASEAN dan University Kagaoshima, Jepun, Ahli Jawatankuasa Census of Marine Life (COML) Sloan Faoundation, Penyelaras Malaysia Coral Triangle inisiatif mengenai Terumbu Karang, Perikanan dan Keselamatan Makanan (CTI-CFF), Ketua Negara Kumpulan G2f JSPS (Coastal Marine Sciences Programme 2001-2010, ASIAN COMSEA Programme 2011 – 2016, JSPS-CORE to CORE Programme 2017 – 2020).

Selain itu, beliau juga terlibat secara langsung dengan Universiti Ghent, Belgium untuk Horizon 2020, Persatuan Marine Biologi United Kingdom, Persatuan Perikanan Asean dan Muzium Kebangsaan Biologi Marin dan akuarium (NMMBA), Taiwan Penyelidikan Ikan telus, Persatuan Oceanografi dan Iktiologi Taiwan dan Persatuan Iktiologi Jepun.  Berdasarkan reputasi dan kepakaran, beliau berkhidmat sebagai perunding atau penasihat dan pemimpin untuk pelbagai projek berimpak tinggi seperti projek Akuapolitan Kuala Nerus, Ketua Penyelidikan Seksyen Marin Hubungan Diplomatik Malaysia-Singapora (Kelolaan Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Alam Sekitar Malaysia), MSJCE (Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar), Penasihat Pusat Sains Negara dan Negeri dan bertindak sebagai pakar rujukan di peringkat serantau dan antarabangsa khususnya dalam penyelidikan Biodiversiti dan pengurusan sumber-sumber marin.

Atas sumbangan cemerlang dalam dunia keilmuan, beliau telah menerima beberapa Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1994, 2004 dan 2012, Anugerah Peningkatan Citra UKM dan Anugerah Penerbitan UKM pada tahun 2008, Anugerah Khas Cemerlang Naib Canselor UMT pada tahun 2016 dan Anugerah Penyelia Cemerlang FST UKM pada tahun 2017.