CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Bicara Naib Canselor

PERUTUSAN NAIB CANSELOR UMT SEMPENA HARI PEKERJA 2015
“WARGA SEJAHTERA UNIVERSITI CEMERLANG”

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sempena dengan sambutan Hari Pekerja yang diraikan pada 1 Mei 2015, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyampaikan mesej sulung saya sempena perlantikan saya sebagai Naib Canselor UMT yang baharu. Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga UMT di atas segala doa dan amalan serta sumbangan dan jasa yang diberikan dalam membangunkan UMT sebagai sebuah universiti yang terunggul dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik.

 

Kejayaan dan kegemilangan UMT amat bergantung kepada kualiti dan kecemerlangan bakat staf sama ada sebagai ahli akademik, pentadbir, penyelidik, pengamal profesional dan staf pelaksana. Ini sejajar dengan Lonjakan 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 :”Kecemerlangan Bakat” yang telah menggariskan rangkakerja pelbagai strategi dan inisiatif bagi membangunkan bakat staf sebagai tunjang utama kecemerlangan universiti. Pada masa yang sama, staf harus menggunakan kebolehan dan keupayaan bakat yang ada secara optima untuk menjadikan UMT sebagai universiti pilihan pelajar cemerlang dan menarik bakat dari sektor lain ke UMT.

 

Pada tahun ini, tema sambutan Hari Pekerja di peringkat kebangsaan ialah ‘Pekerja Sihat Produktiviti Meningkat’. Tema ini amat signifikan kerana kesihatan merupakan elemen utama dalam mempengaruhi keupayaan untuk menghasilkan kualiti kerja dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan. Amalan gaya hidup sihat seperti bersenam, makan secara sihat dan belajar menangani stress dapat meningkatkan status kesihatan kita dan seterusnya menjana aura positif untuk lebih produktif dalam memberikan perkhidmatan kepada pemegang taruh. Tekanan kerja di pejabat juga amat mempengaruhi kesihatan diri dan ia harus ditangani secara positif seperti sentiasa berlapang dada dengan kekurangan, belajar menghargai usaha dan kerja orang lain, meraikan kejayaan dan meluangkan masa yang cukup untuk kebahgiaan keluarga dan diri sendiri.

 Akhir kata, marilah sama-sama kita mewujudkan suasana harmoni, merapatkan barisan, berganding bahu dan bekerjasama membangunkan UMT yang kita cintai ini sebagai universiti yang terunggul dalam pendidikan tinggi negara. Jadikanlah khidmat bakti kita sebagai satu amal ibadah yang terbaik dan sentiasalah mengamalkan gaya hidup yang sihat kerana warga yang sejahtera akan mewujudkan universiti yang cemerlang.


Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut nak sebut,
Khidmat bakti rasa nak junjung.

Sekian dan “Selamat Menyambut Hari Pekerja 1 Mei 2015”.

Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar
Naib Canselor
Universiti Malaysia Terengganu
1 Mei 2015