CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)

tnchepa4-dr-mohd-ruzaidi

PROFESOR MADYA DR. CHE MOHD RUZAIDI BIN GHAZALI dilahirkan pada 27 Oktober 1966 di Kampung Bakau Tinggi, Kemaman, Terengganu. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Chukai, Kemaman dan seterusnya melanjutkan pendidikan menengah di Maktab Rendah Sains MARA, K. Terengganu. Setelah mendapat kelulusan ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Polimer dari Universiti Sains Malaysia (1991), beliau menyambung pengajian ke peringkat ijazah Sarjana Sains dalam bidang Teknologi Polimer di Universiti Sains Malaysia (1999). Setelah itu, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya dalam bidang Kejuruteraan Bahan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan dianugerahkan Ph.D pada tahun 2014.

Setelah menamatkan pengajian akademik, beliau telah memulakan perkhidmatan sebagai seorang guru/tutor di Universiti Sains Malaysia sejak tahun 1992.  Kemudian sebagai Pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada tahun 2003. Semasa di UniMAP, beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya pada tahun 2007 dan seterusnya dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan pada tahun 2007 hingga tahun 2010. Setelah menamatkan pengajian PhD di bawah program SLAB/SLAI, beliau telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Teknologi UniMAP yang pertama iaitu dari tahun 2013 hingga tahun 2016. Pada 1 Disember 2016, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Ke-IV.

Prof. Madya Dr. Che Mohd Ruzaidi merupakan pakar dalam bidang Bahan Polimer, Pemprosesan Polimer, Composit dan Geopolimer. Secara umumnya, beliau telah menerima 11 Geran Penyelidikan bernilai melebihi RM7.383juta. Beliau telah dan sedang menyelia 6 orang pelajar Ph.D dan 5 orang pelajar Sarjana Sains sebagai penyelia utama dan beberapa yang lain sebagai penyelia kedua. Sepanjang kerjaya sebagai ahli akademik, beliau telah menerbitkan 8 buah buku ilmiah, lebih 90 kertas ilmiah dalam jurnal berindeks, prosiding, bab dalam buku, laporan khas dengan nilai H indeks scopus 9 dan 16 produk yang telah dipatenkan.

Di samping melaksanakan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), beliau turut memegang pelbagai jawatan lain seperti Timbalan Pengerusi Persatuan Inovasi dan Penyelidikan Malaysia (MYRIS), Exco Persatuan Geopolimer Malaysia, Ahli Persatuan Reka Bentuk dan Reka Cipta Malaysia, Ahli Kelab Penyelidik Muda ENVEX, Ahli Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia dan Ahli Institut Getah dan Plastik Malaysia (PRIM).  Beliau juga pernah terlibat dalam kerja-kerja sukarela seperti menjadi Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Arau dari tahun 2013-2016 dan menjadi Timbalan Komandan RELASIS, UniMAP dari tahun 2014-2016.

Atas sumbangan cemerlang dalam dunia keilmuan, beliau telah menerima anugerah dan sanjungan, antaranya ialah Ahli Mahkota Perlis (AMP) (2013) dan Top Research Scientis Malaysia (TRSM) (2014).