CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Syarahan Naib Canselor UMT 2015, Mengungguli Kecemerlangan, Meneroka Lautan Biru

Terima kasih saudari pengacara majlis,

Bismillahirrahmanirrahim,

 i. Pegawai Utama, Pegawai Kanan,
ii. Para Profesor, Profesor Madya, Pensyarah Kanan dan Pensyarah,
iii. Staf Profesional dan Staf Sokongan
iv. Para Tetamu dan Jemputan yang dimuliakan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam 1 UMT

Pembuka Bicara

1. Syarahan 100 hari Naib Canselor, disusuli dengan Syarahan Tahunan 2013 dan 2014 telah membawa anda berfikir dan bertindak sebagai sebuah pasukan – bagaimana untuk memantapkan hala tuju, menyediakan pelan strategik, mengukuh keyakinan bersama dan melaksanakan perubahan untuk membawa UMT ke destinasi kecemerlangan. Saya bersyukur dan gembira, usaha ini telah mula menunjukkan bibit kejayaan. Semua rancangan dan gerakan transformasi, telah dapat dilaksanakan, dan kini hanya melibatkan penambahbaikan kecilan sahaja. Kita juga dapat merasakan sebahagian besar daripada warga UMT, telah berjaya beradaptasi dengan perubahan yang berlaku, dan mulai menerapkan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi, bahawa transformasi ini berada pada landasan yang tepat.

2. Penghayatan terhadap paradigma baharu iaitu transformasi ke arah kecemerlangan perlu diterapkan ke sanubari setiap warga UMT, khususnya daripada kalangan Pemimpin Akademik. Anda perlu menjadi ‘agen perubahan’ membawa bersama bakat akademik muda, staf profesional dan sokongan, menuju ke destinasi kegemilangan berpandukan Pelan Strategik 2013 – 2017. Semua program transformasi perlu dilaksanakan secara berterusan, dengan hati terbuka, demi kepentingan institusi dan warganya. Saya ingin melihat iltizam membudayakan perancangan strategik, dijadikan pegangan semua warga, dan aktiviti melaksanakan pelbagai projek, menjadi sebahagian daripada tanggungjawab dan cara bekerja kita.

3. Kunci kejayaan bagi melonjakkan UMT ke dunia kecemerlangan ialah pegangan dan kepercayaan kepada Nilai Teras, sebagai nilai sepunya seluruh warga kampus – ahli akademik, staf profesional dan sokongan, dan pelajar. Lima nilai teras yang telah dipersetujui bersama iaitu ghairah kepada kebenaran; mengejar kecemerlangan; memperkasa kepimpinan akademik; menghormati kepelbagaian keserakanan; dan menyemai kecintaan alam, haruslah terjelma dalam semua tindak tanduk dan aktiviti kita.

4. Seperti dinyatakan dalam syarahan awal saya, fahaman pemimpin datang dan pergi, ungkapan sekali air bah sekali pasir berubah – perjuangan perlu diteruskan, adalah lumrah kehidupan. Inilah semangat yang perlu kita terapkan di sanubari setiap warga UMT. Bukannya pemimpin dan bukannya kita yang penting, dalam satu perjuangan murni, tetapi matlamat akhir yang ingin dicapai – UMT yang unggul, cemerlang dan dihormati dalam tujahan ‘ilmu kelautan dan sumber akuatik’. Dalam syarahan kali ini, saya berhasrat untuk menegaskan kepada anda ‘end in mind’ ini, perlu disusuri dengan iltizam yang tinggi, nilai kebersamaan yang tersepadu dan pelaksanaan yang berwawasan.

5. Saya akan paparkan kepada anda pencapaian penting  2014 untuk renungan bersama. Lihatlah pencapaian kita dalam:

   – bilangan pelajar

   – bilangan program pengajian

   – pencapaian penarafan SETARA

   – kebolehpasaran graduan

   – geran penyelidikan

   – penerbitan dalam jurnal

6. Selepas hampir tiga tahun bertransformasi, apakah kita boleh selesa dengan pencapaian begini? Adalah ada pencapaian yang boleh kita banggakan? Dan dimanakan aspek yang kita perlu kita perbaiki lagi? Marilah sama-sama kita tafsirkan pencapaian 2014 ini.

7. Pembangunan dan pencapaian kita pada prinsipnya telah dipandu oleh Pelan Strategik UMT 2013 – 2017. Pelan ini telah menggariskan pendekatan, teras utama (keberhasilan), strategi perlaksanaan dan pemantauan. Kita telah menggariskan lima keberhasilan utama iaitu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Penyelidikan dan Inovasi (P&I), Pemindahan Ilmu, Pembangunan Bakat Akademik, dan Pemantapan Citra. Pencapaian 2014 banyak bergantung kepada kejayaan melaksanakan 43 program yang menyokong 17 objektif strategi yang telah kita persetujui bersama.

Pemerkasaan Bakat

8. Jika UMT berhasrat dikenali dan disanjung sebagai institusi pengajian tinggi terbilang, kita perlu meneruskan usaha menyuburkan iltizam Akademik Berbudaya Cemerlang (ABC). Usaha memperkasa bakat perlu dilaksanakan secara berterusan, dan dengan perancangan yang berstrategi. Saya syorkan Peraga Pembangunan Bakat yang berasaskan pembangunan kendiri, diamalkan oleh semua warga akademik UMT. Pusat Pengurusan Bakat Akademik (PPBA) boleh memainkan peranan penting dengan menggerakkan beberapa inisiatif utama berasaskan program dan aktiviti yang telah digariskan dalam Pelan Strategik kita.

9. Sepanjang tahun 2014, tumpuan telah diberikan kepada pengurusan pembangunan bakat merangkumi memperkemaskan dasar, garis panduan (kriteria) dan sistem pengurusan program cuti belajar, pengambilan bakat akademik muda, kepimpinan pengajaran dan penyelidikan, serta proses kenaikan pangkat. Penilaian prestasi tahunan dan prestasi sumbangan akademik, telah diperkemaskan dengan mengambil kira lima peranan utama akademik iaitu pengajaran, penyelidikan, inovasi (pemindahan ilmu), kepimpinan dan pembangunan bakat (kendiri).

10. Pembangunan sistem e-Bakat sebagai pangkalan data terintegrasi ahli akademik perlu diperkukuh dan dibudayakan. Pada tahun 2015, saya mengharapkan sistem e-Bakat berjaya dimantapkan dan digunapakai sepenuhnya. Tanggungjawab melengkapkan maklumat aktiviti dan sumbangan akademik terletak pada setiap ahli akademik, sementara pemantauan kesahihannya perlu dilakukan oleh pihak pengurus akademik institusi. E-Bakat perlu dijadikan asas dalam semua aktiviti pemerkasaan bakat, meliputi urusan penilaian tahunan, kenaikan pangkat, pemberian ganjaran dan penganugerahan.

11. Pembangunan bakat akademik perlu dijajarkan dengan perkembangan program pengajian. UMT perlu menyediakan pakar bidang dan sub-bidang untuk setiap kursus teras yang ditawarkan kepada pelajar. Untuk memastikan objektif ini dicapai, PPBA perlu melaksanakan perancangan pemetaan bakat (atau bidang kepakaran). Pada peringkat awal, pemetaan perlu dilakukan berasaskan kepada kepelbagaian kursus yang menyokong program pengajian sedia ada. Tahap kedua melibatkan program pengajian yang bakal dilaksanakan sepanjang lima tahun akan datang. Selepas semua keperluan dipenuhi, pemetaan bakat boleh ditumpukan kepada perancangan peralihan (succession planning) bagi menggantikan bakat akademik kanan yang telah berusia melampaui 50 tahun.

12. Pada tahun 2015 dan seterusnya, saya ingin melihat tumpuan diberikan kepada pembangunan bakat akademik dan pemerkasaan kesarjanaan. Dalam konteks pembangunan bakat, kita perlu memberikan tumpuan kepada meningkatkan kemahiran 4M – Menyelidik, Menulis, Mengajar dan Menyelia. Kemahiran 4M aras tinggi diperlukan oleh setiap bakat akademik muda sebagai asas untuk membolehkan mereka menjalankan fungsi utama secara berkesan. Saya syorkan PPBA bekerjasama dengan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL) untuk merancang dan mengendalikan program latihan kemahiran ini secara berterusan.

13. Mulai tahun ini, lebih 75% ahli akademik UMT memiliki ijazah PhD, ini telah jauh melampaui sasaran negara. Soalnya, apakah kita telah memiliki ahli akademik yang kukuh kesarjanaannya, yang disanjung kewibawaannya, dan yang dikenali kepakarannya? PPBA dengan kerjasama Pusat Pengajian dan Institut Penyelidikan, boleh memulakan beberapa projek yang menyokong gagasan Objektif Strategi Teras Pemerkasaan Bakat iaitu menggilap dan memperkasa bakat akademik. Melalui e-Bakat, kita perlu mengenal pasti akademik cemerlang iaitu 10% yang teratas daripada kalangan Pensyarah Kanan, Profesor Madya dan Profesor. Mereka perlu diberikan keistimewaan bagi menjayakan pembangunan kendiri, melalui penyelidikan dan mobiliti akademik untuk menerajui iltizam ABC.

14. Dalam Syarahan 2014, saya telah tegaskan pemerkasaan staf profesional dan sokongan perlu diberikan perhatian serius, khususnya dalam meningkatkan kemahiran, sikap positif dan keupayaan untuk multi-tasking. Usaha ini perlu dilaksanakan melalui program latihan berteraskan kemahiran dan pembangunan kerjaya. Satu inisiatif baharu yang perlu diberikan perhatian ialah keperluan latihan kemahiran multi-tasking untuk staf sokongan. Pejabat Pendaftar perlu mengukuhkan unit Latihan Kompetensi Staf Sokongan (LKSS), yang diberikan peranan untuk merancang dan menyelaras, keperluan latihan setiap staf profesional dan sokongan. Unit ini juga boleh diberikan mandat untuk mentadbir keperluan mengendalikan penilaian prestasi tahunan komponen modal insan ini.

15.  Kini UMT mempunyai lebih daripada 65 orang pegawai teknikal, merangkumi jawatan Pegawai Sains, Pegawai Perikanan dan Pegawai Penyelidik. Mereka adalah modal insan penting dan menjadi nadi kepada aktiviti pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan, di pusat pengajian dan institut penyelidikan. Pembangunan kemahiran dan kerjaya mereka perlu diperkasa jika kita berhasrat menggerakkan UMT ke arah kecemerlangan. Makmal Berpusat telah diberikan mandat untuk meneliti keperluan pegawai teknikal, menyediakan dasar dan garis panduan pengurusan bagi membolehkan kemahiran modal insan teknikal, dimanfaatkan sepenuhnya. Tahun 2015 boleh dijadikan pemula kepada proses pemerkasaan modal insan penting ini.

Transformasi Akademik

16. Sepanjang tahun 2014, transformasi akademik di UMT bergerak dengan pantas. Proses penyusunan semula program pengajian berasaskan pusat pengajian, bagi memenuhi hasrat pengukuhan gagasan ‘ilmu kelautan dan sumber akuatik’ berjalan lancar. Kesemua lapan pusat pengajian telah selesai menambahbaik sistem governans, dan petempatan bakat akademiknya. Ini merupakan persediaan awal, dan banyak lagi yang perlu dilaksanakan bagi memantapkan fungsi dan potensi sebenar pengajaran dan pembelajaran (P&P).

17. Pusat pengajian adalah institusi utama bagi melaksanakan fungsi teras universiti iaitu pendidikan formal dalam bidang kepakaran dan kemahiran aras tinggi. Ini meliputi pengajian program diploma, prasiswazah dan pascasiswazah. Daripada konteks pengurusan, Timbalan Dekan (Akademik dan Pelajar) perlu memainkan peranan besar untuk memastikan urusan teras ini dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkualiti tinggi. Saya ingin tegaskan, anda mempunyai peluang untuk menjadikan program pengajian bersifat lebih holistik, dan mengangkat program pascasiswazah mod kursus dan campuran) pada tahap yang lebih tinggi.

18. Tahun 2015 merupakan masa yang tepat untuk mengukuhkan program pengajian sedia ada, khususnya program prasiswazah, terutamanya bagi memastikan ia memenuhi korpus ilmu yang diperlukan, relevan dengan keperluan negara, dan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan. Saya mengesyorkan setiap Pengerusi Program Pengajian menilai semula kurikulum, inovasi pengajaran dan kesesuaian bakat akademik teras bagi memastikan ia menepati strategi pembangunan modal insan masa hadapan. Setiap satu program di UMT seharusnya mempunyai citra yang unik, berwawasan tinggi, dan menjadi program pilihan pelajar.

19. Dalam konteks program prasiswazah antarabangsa, walaupun saya meletakkan sasaran pada 2014, satu program bagi setiap pusat pengajian, kita berjaya memperkenalkan dua program pengajian iaitu Bachelor of Applied Science (Maritime Technology) dan Bachelor of Accountancy. Terima kasih kepada kepimpinan pusat pengajian yang telah mempelopori usaha strategik ini. Saya ingin tegaskan, program antarabangsa bukan sekadar menukar nama program, dan menyampaikan dalam bahasa Inggeris sahaja, sebaliknya ia mempunyai korpus ilmu berperspektif global, dikendalikan oleh lebih 10% ahli akademik antarabangsa, dan mempunyai lebih 20% pelajar luar negara. Setiap pusat pengajian perlu meneruskan usaha strategik yang mempunyai kepentingan berganda ini, sekurang-kurangnya bagi memenuhi sasaran 5% pelajar prasiswazah antarabangsa, belajar di UMT.

20. Dalam Syarahan 2013, saya telah mengesyorkan supaya kita mula merancang program Sarjana (mod kursus atau campuran) dalam bidang kepakaran berasaskan tujahan UMT. Penawaran program Sarjana seumpama ini merupakan tindakan strategik bagi memperkenalkan kekuatan bidang tujahan, menggunakan bakat akademik secara optimum, dan meningkatkan bilangan pelajar pascasiswazah antarabangsa. Semua pusat pengajian digesa merancang program ini untuk lima tahun akan datang (2016 – 2020), dan boleh memperkenalkan program baharu mulai tahun 2015. Sebahagian besar daripada program Sarjana (mod kursus dan campuran) boleh dibangunkan secara pantas, bersifat luwes, dan boleh terus dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kelulusan Senat. Mulai tahun 2015, UMT akan memperkenalkan penilaian prestasi kedekanan, berasaskan kepada perlaksanaan program pascasiswazah, dan bilangan pelajar antarabangsa.

21. Saya telah mencetuskan idea mengenai Program Kontinum Diploma – Sarjana Muda – Sarjana dalam Syarahan Perdana 2012, dan memberikan hala tuju perancangan dalam beberapa bengkel pembangunan program akademik susulan. Program seperti ini mempunyai kepentingan strategik untuk meneroka peluang baharu, khususnya bagi menarik pelajar pintar dan membina citra positif mengenai keunggulan bidang tujahan kelautan UMT. Saya syorkan beberapa pusat pengajian, terutamanya Sains Perikanan dan Akuakultur (SPA), Sains Marin dan Sekitaran (SMS) dan Sains dan Teknologi Makanan (STM) memulakan gagasan program kontinum ini secara berstrategi. Jadikan tahun 2015 sebagai era anjakan paradigma, ke arah merealisasikan program berimpak tinggi ini. Pusat Perancangan Pembangunan Akademik (PPPA) perlu membantu pusat pengajian dalam menyediakan dokumen Blueprint Program Kontinum UMT dan pelan tindakan perlaksanaannya.

22. Program pascasiswazah secara penyelidikan (Sarjana dan PhD) telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Pada tahun 2014, UMT telah berjaya menghasilkan 25 orang graduan PhD dan 112 orang graduan berijazah Sarjana. Begitupun, kita masih perlu melakukan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan peratusan ‘bergraduat pada masa’ (GoT) dan kualiti tesis. Kita perlu melihat program pascasiswazah (mod penyelidikan) sebagai keterusan program penyelidikan institusi. Penentuan tajuk penyelidikan perlu dijajarkan dengan kepelbagaian bakat akademik (pakar) dan halatuju penyelidikan pusat pengajian dan institut penyelidikan. Hubungan penyelia dan pelajar seharusnya berkonsepkan berguru dengan Malim (mentor – mentee), dan penyeliaan berpasukan hanya dilakukan untuk penyelidikan yang bersifat multi-disiplin. Saya syorkan, program pascasiswazah (mod penyelidikan) diurus oleh Timbalan Dekan/Pengarah (Bakat dan Penyelidikan) bagi memastikan aktiviti penyelidikan siswazah menepati agenda penyelidikan di pusat pengajian dan institut penyelidikan.

Transformasi Penyelidikan dan Inovasi

23. Saya gembira melihat usaha untuk mengukuhkan keupayaan, output dan kualiti penyelidikan terus meningkat. Kesedaran untuk menjalankan penyelidikan dan memastikan fungsi asas akademik ini menjadi budaya ‘penyelidikan sepanjang hayat’ perlu terus diperkukuhkan. Bilangan yang menjadi Ketua Projek Penyelidikan terus meningkat, kini telah mencapai 58% daripada jumlah seluruh staf akademik yang aktif. Sementara peratusan projek penyelidikan yang menepati fokus penyelidikan UMT kini telah mencapai 91%.

24. ​Pada tahun 2015, kita perlu meneruskan agenda Transformasi Penyelidikan dan Inovasi (P&I) pada tahap yang lebih strategik. Proses pengukuhan berasaskan halatuju dan kawalan pengurusan diperlukan untuk melonjakkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi. Saya percaya penyelidikan individu atau kumpulan kecil, yang kini dibiayai terutamanya daripada dana penyelidikan KPM dan MOSTI, penting untuk mengasah pelbagai bakat dan kepakaran akademik. Jika penyelidikan seumpama ini mahu dijadikan kunci kejayaan P&I UMT, kita tiada pilihan kecuali menjajarkan semua penyelidikan berasaskan bidang tujahan ‘ilmu kelautan dan sumber akuatik’. Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP) perlu mewujudkan mekanisme penilaian cadangan projek baharu yang lebih mantap bagi memastikan setiap aktiviti penyelidikan dijajarkan dengan tujahan UMT.

25. Kita perlu menghidu bakat ‘pemimpin muda penyelidikan’, khususnya mereka yang baru sahaja meraih ijazah PhD dalam pelbagai bidang kepakaran, dan membimbing mereka mencari hala tuju yang tepat. Pengalaman ketika menjalankan ‘penyelidikan PhD’ hanya lesen untuk diterima menjadi ahli akademik, bukan kepakaran atau kesarjanaan sebenar. Usaha penyelidikan dan menghasilkan penerbitan yang berterusan, selepas memperolehi PhD merupakan kebijaksanaan yang menjadikan kesarjanaan mereka diterima oleh keserakanan. Oleh itu, sebagai ahli akademik muda, carilah ke mana akhirnya suatu pengembaraan akademik anda. Dalam konteks ini, mendekati mentor, mengenali ruang dan peluang, serta iltizam menyumbang kepada UMT dan negara, perlu dijadikan asas memulakan langkah pengembaraan ini. Jika bertekad menyumbang bersama UMT, lautan biru di Pentas Sunda adalah gelanggang penerokaan anda.

26. Untuk memantapkan penyelidikan berasaskan kumpulan, kita telah memperkemaskan peranan Special Interest Group (SIG) sebagai peneraju penyelidikan nic (fokus) berimpak tinggi. Pewujudan SIG juga, bertujuan membina kumpulan penyelidikan tidak formal, untuk membudaya konsep Malim Sarjana. Saya menyedari, tanpa Pemimpin Penyelidikan yang berwibawa dan berwawasan, SIG sukar untuk digerakkan. Oleh itu, pada tahun 2015, kita mengambil keputusan untuk menggugurkan beberapa SIG, dan mengekalkan kumpulan yang berprestasi tinggi. Pada masa yang sama, kita boleh meluluskan SIG baharu atas dasar wujudnya kepimpinan penyelidikan yang berwibawa, dan telah menunjukkan hasilan yang memberangsangkan. Pada tahun 2015, kita akan memulakan penilaian prestasi kumpulan dan dana galakan sebanyak RM25,000 per tahun dan hanya akan diteruskan kepada SIG yang aktif.

27. Pada tahun 2014, kita telah memperkenalkan konsep Program Penyelidikan di bawah pengurusan Institut Penyelidikan. Ini merupakan entiti kumpulan penyelidik formal yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan terfokus, berkumpulan secara jangka panjang. Pada masa ini, kita mempunyai 13 Program Penyelidikan yang menyokong hala tuju empat Institut Penyelidikan. Setiap Pengarah perlu memantapkan kepimpinan dan penyelidik utama untuk setiap program, dan para penyelidik sokongan boleh dijemput daripada kalangan Felo Penyelidik Bersekutu dan Felo Penyelidik (lantikan bersama) dari Pusat Pengajian di UMT atau universiti lain. Mulai 2015, prestasi Institut Penyelidikan akan ditentukan berdasarkan pencapaian dan output penyelidikan untuk setiap programnya.

28. Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) sebagai Higher Education Centre of Excellence (HiCoE) mempunyai tanggungjawab besar untuk menjayakan agenda negara dalam penyelidikan berasaskan ilmu Sains Marin. Masanya telah tiba untuk INOS memberikan tumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi. Tumpuan kepada isu Oseanografi, Kepelbagaian Biologi Marin, Mamalia Marin Terancam dan Governans Kelautan perlu dimantapkan, dan output penyelidikan untuk pembangunan negara dihasilkan. Saya mengesyorkan INOS membimbing dan membangun bakat penyelidik Sains Marin negara, khususnya mereka yang berada di Pusat Pengajian di UMT. Kita perlu mengangkat citra INOS supaya sentiasa dilihat sebagai institusi penyelidikan kelautan bertaraf kebangsaan dan terunggul di Pentas Sunda.

29. Institut Bioteknologi Marin (IBM) perlu memantapkan penyelidikan berasaskan sumber marin terpilih yang mampu menghasilkan produk bioteknologi berpotensi tinggi bagi pembangunan inovasi teknologi. Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) pula perlu melaksanakan penyelidikan yang dapat membantu meningkatkan keupayaan ekonomi komuniti nelayan di Pantai Timur berasaskan pendekatan inovasi sosial. Walau apapun fungsi spesifik anda, tumpuan kepada menghasilkan modal insan pakar, dan penerbitan ilmiah berimpak tinggi seharusnya menjadi agenda utama Institusi Penyelidikan dalam sebuah ekosistem universiti.

30. Untuk menyemarak penyelidikan multidisiplin (terintegrasi) dalam sektor kelautan dan sumber akuatik, UMT telah memperkenalkan konsep Kluster Penyelidikan. Pemilihan enam Kluster Penyelidikan: Sains Marin dan Oseanografi; Perikanan Tropika dan Akuakultur;  Bioteknologi dan Biobahan Marin; Komuniti Persisiran dan Kepulauan;  Teknologi dan Pengurusan Maritim; dan Ekosistem Tasik dan Kepelbagaian Biologi Tropika adalah berasaskan kekuatan sedia ada, nic UMT dan peluang peneraju gagasan ilmu masa hadapan.

31. Pelantikan seorang Malim untuk mengetuai setiap kluster, penting untuk memastikan lonjakan berwawasan. Tugas Ketua Kluster ialah untuk merancang, membimbing akademik muda, dan membangun strategi untuk mencapai objektif menghasilkan output berimpak tinggi, serta mengekalkan kelestarian penyelidikan. Mereka akan diberikan mandat untuk menyaring semua cadangan penyelidikan untuk mendapatkan dana, dan menilai kualiti laporan yang dihasilkan. Mulai tahun 2015, semua cadangan penyelidikan oleh ahli akademik UMT, perlu disaring oleh Ketua Kluster bagi memastikan kualiti dan objektif penyelidikan memenuhi bidang tujahan universiti.

32. Pada pertengahan tahun 2014, kita telah memperkenalkan Penyelidikan Flagship bertajuk ‘Pembangunan Ekosistem Setiu: Pemuliharaan, Kelestarian Sumber dan Kesejahteraan Komuniti’ bertujuan membina budaya penyelidikan multidisiplin berkumpulan, berpandukan tujahan UMT. Projek Niche Research Grant Scheme (NRGS) 2014 – 2018 akan dijadikan asas untuk menjayakan program ini. Definisi Ekosistem Setiu telah diperluaskan meliputi Tanah Bencah Besut, Setiu dan Merang; dan dua entiti baharu yang dikenali sebagai Kepulauan Setiu dan Laut Setiu. Rantau ini bakal menjadi gelanggang penerokaan ilmu untuk seluruh warga UMT. Pada tahun 2015, kita akan melancarkan projek ‘Mengasuh Penyelidik Muda (Nurturing Young Researcher)’ di mana seramai 130 pelajar prasiswazah dari 27 Program Pengajian, melibatkan dana sebanyak RM200,000 diperkenalkan. TNC (HEPI) telah diberikan mandat untuk menyelaras dan memantau pencapaian penyelidikan berstrategi ini.

33. Pada tahun ini, kita akan memperkenalkan satu lagi penyelidikan Flagship iaitu ‘Pembangunan Geopark Kenyir:  Warisan, Kelestarian Sumber dan Penghidupan Komuniti’. Geopark merupakan wawasan berinovasi untuk membangun wilayah terpinggir daripada perspektif pembangunan lestari. Penyelidikan akan ditumpukan kepada pemuliharaan warisan tabii, membangun produk pelancongan alam, dan meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat. Kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Terengganu dan Beberapa agensi Kerajaan untuk memperkenalkan potensi pelancongan Tasik Kenyir sebagai sebuah geopark kebangsaan, dan seterusnya diangkat sebagai UNESCO Global Geopark. Pada tahun ini, UMT akan memperuntukkan RM250,000 dana galakan penyelidikan bagi warga yang berminat untuk membuat kajian di Tasik Kenyir.

34. Saya telah memperkenalkan konsep inovasi yang perlu diamalkan oleh warga akademik dalam Syarahan 2013, dan menegaskan strategi perlaksanaan inovasi teknologi dan inovasi sosial dalam Syarahan 2014. Idea ini belum berjaya dihayati dan diterjemahkan kepada output berimpak tinggi oleh kebanyakan penyelidik UMT.

35. ​Bakat akademik muda perlu memberikan sumbangannya melalui inovasi ilmu iaitu pengembangan idea dan penerokaan ilmu baharu. Mereka perlu menulis dalam jurnal berimpak tinggi dan monograf penyelidikan. Pada tahun 2015, saya ingin melihat setiap ahli akademik muda yang telah menyelesaikan projek penyelidikan, menulis sebuah monograf sebagai sumbangan inovasi ilmu mereka. Inilah cara tradisi bagi anda melonjakkan kewibawaan akademik dalam dunia kesarjanaan. Penerbit UMT perlu memberikan laluan istimewa untuk penerbitan monograf berkualiti daripada kalangan penyelidik muda.

36. Bagi pemimpin akademik yang menerajui pelbagai penyelidikan bersifat gunaan atau pembangunan yang dibiaya oleh KPM dan MOSTI, anda perlu menghasilkan inovasi teknologi iaitu penghasilan produk dan proses berteknologi tinggi. Tumpuan perlu diberikan kepada industri asas tani persisir pantai, perikanan dan sumber marin. Saya mengharapkan Ketua SIG dan Ketua Program Penyelidikan memberikan tumpuan serius kepada pembangunan inovasi teknologi, yang sesuai untuk Industri Kecil Sederhana (IKS), dan berpotensi membangun perniagaan universiti. Jadikan inisiatif Jaringan Universiti – Industri sebagai pemangkin kepada usaha membangunkan keupayaan bersaing IKS di Terengganu dan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

37. Memperkasa inovasi sosial perlu dijadikan agenda kritikal sekiranya kita beriltizam menjayakan wawasan UMT untuk masyarakat. Dalam Syarahan 2014, saya telah menyarankan setiap Pusat Pengajian dan Institut Penyelidikan memperkenalkan satu projek inovasi sosial yang berkaitan dengan bidang kepakaran masing-masing. Projek begini boleh melibatkan ahli akademik, staf sokongan dan para siswazah, dan dirancang secara berwawasan dengan objektif dapat dicapai dalam tempoh 3 hingga 5 tahun. Mulai tahun 2015, kita perlu menjadikan aktiviti inovasi sosial sebahagian daripada penyelidikan tindakan yang diketuai oleh Dekan/Pengarah dan dijadikan sebahagian daripada Indeks Pengukur Prestasi (KPI) Pusat Pengajian dan Institut Penyelidikan.

Transformasi Pelajar

38. Dalam Syarahan 2014, saya telah memperkenalkan empat mod pembelajaran bagi menghasilkan pelajar berminda kelas pertama dan berketrampilan syumul. Ia meliputi pembelajaran formal di Pusat Pengajian, pembelajaran formal dan non-formal di Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL), pembelajaran informal di Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP), dan pembelajaran informal dan nonformal di sekitaran Kolej Siswa sebagai tempat pembelajaran kedua. Saya gembira melihat telah wujud anjakan paradigma mengenai kepentingan mengimbangi semua mod pendidikan ini. Soalnya, kita masih belum mampu menterjemah perancangan ini kepada tindakan perlaksanaan yang mantap dan berwawasan.

39. UMT telah memperkenalkan Kerangka Pembangunan Holistik Pelajar yang memberikan penekanan kepada mengimbangi keperluan pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan kepimpinan pelajar, dan membina alumni unggul. Dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, tumpuan akan diberikan kepada pendidikan asas dan liberal untuk membina keyakinan diri, pembangunan insaniah, kemahiran berkomunikasi dan, amalan budaya cemerlang. Pembangunan kepimpinan digerakkan melalui pembangunan kendiri, keusahawanan, kepimpinan persatuan dan kelab, dan aktiviti sukarelawan. Sementara pembinaan alumni unggul digerakkan melalui pelbagai pendedahan dan aktiviti untuk menanam ‘menabur bakti, menuai budi’, cinta kepada ilmu dan cakna UMT.

40. UMT telah melaksanakan agenda pendidikan liberal untuk menghasilkan graduan berorientasi syumul (holistik) melalui penubuhan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL). Kini, warga UMT telah menerima PPAL sebagai pusat pendidikan penting untuk melaksanakan hasrat negara menghasilkan modal insan syumul, melalui penawaran kursus Teras Universiti (TU) dan Elektif Universiti (EU) yang berwawasan. Kita masih perlu meneruskan agenda pembudayaan ilmu melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Selain menggerakkan pelbagai kursus bersifat asas, liberal dan kemahiran (kokurikulum) untuk pelajar, PPAL boleh memperluaskan peranannya sebagai pusat pendidikan masyarakat di Pantai Timur. Pada tahun 2015, saya syorkan PPAL memulakan beberapa inisiatif baharu berikut:

a)  mewujudkan sebuah Pusat Pembelajaran Bahasa Inggeris (ELC) yang berfungsi untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris daripada kalangan para pelajar UMT. Inisiatif ini perlu disegerakan memandangkan kerajaan telah memperkenalkan dasar baharu iaitu penilaian kemahiran berbahasa Inggeris untuk pelajar yang akan bergraduat. Sebagai langkah proaktif, ELC juga boleh bertindak seperti ‘British Council’ Pantai Timur, menawarkan pelbagai program kemahiran berbahasa Inggeris untuk staf profesional dan sokongan, dan pegawai agensi kerajaan atau swasta dalam sekitaran PSH; dan

b)  mewujudkan Pusat Inovasi Akademik (PIA) yang berfungsi sebagai pusat pembelajaran non-formal (kursus pendek, bengkel dan seminar) yang memberikan tumpuan kepada meningkatkan kemahiran 4M dan pelbagai inovasi dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan untuk pembangunan kemahiran bakat akademik. Inisiatif ini bukan sahaja untuk pembangunan ahli akademik UMT, tetapi perlu bekerjasama dengan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) untuk menjadi pusat latihan akademik terpilih di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

41. Kita perlu memberikan perhatian kepada pembangunan kepimpinan pelajar daripada perspektif yang lebih luas. Ini meliputi kepimpinan ilmu, keusahawanan, komuniti dan politik. Fungsi Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP) boleh dinilai kembali, dijajarkan untuk memenuhi hasrat baharu ini. Saya mengesyorkan penjenamaan semula PPHP kepada Pusat Kepimpinan Pelajar (PKeP) dan peranannya ditumpukan kepada usaha membimbing dan menggalak pembangunan kepimpinan melalui pelbagai aktiviti berpersatuan dan kesukarelawan. Pusat ini juga boleh menjalankan fungsi berkaitan dengan semua aktiviti pembangunan keusahawanan pelajar.

42. Pusat Pembangunan Alumni dan Keusahawanan (CADE) perlu memberikan fokus yang tinggi kepada membina alumni unggul, dan pusat ini dijenama semula sebagai Pusat Alumni Unggul (ALUMNI). Ia perlu memberikan tumpuan kepada menyediakan pangkalan data alumni yang terkini, menjalankan pelbagai aktiviti untuk memupuk semangat cinta dan cakna UMT daripada kalangan siswazah sedia ada, dan menggerakkan gagasan  alumni berbakti melalui inisiatif Endowmen Alumni dan Alumni Turun Padang.

43. Matlamat akhir pendidikan ialah menghasilkan graduan minda kelas pertama, berfikiran syumul dan warga yang dihormati. Untuk masa hadapan, UMT perlu memberikan tumpuan kepada menghasilkan graduan warga global. Mereka perlu didedahkan kepada wawasan Komuniti Asian dan Komuniti Dunia. Ini dapat dilaksanakan melalui penerapan pengetahuan global dalam setiap kursus di Pusat Pengajian dan di PPAL. Kita juga boleh memulakan inisiatif kemahiran tiga bahasa (3B), dan pada masa yang sama, memperkenalkan program warga global melalui mobiliti pelajar secara berkesan dan berwawasan.

Transformasi Kelestarian Kewangan

44. ​Bagi mengharungi cabaran masa hadapan yang dinamik dan mengurangkan kebergantungan kepada geran kerajaan, UMT perlu mempunyai strategi mengukuhkan struktur kewangan dan aliran pendapatan yang stabil. Kita perlu memulakan proses Transformasi Kelestarian Kewangan berasaskan model kewangan yang berpandangan jauh. Model Kelestarian Kewangan perlu memberikan perhatian kepada menjayakan fungsi teras universiti awam dan peluang mengembangkan keupayaan universiti dalam konteks ‘perniagaan dan perkhidmatan ilmu’. Pada masa ini, semua IPTA di Malaysia sangat bergantung kepada geran kerajaan untuk menjayakan urusan utamanya. Dana kerajaan yang terhad tidak membolehkan kita melaksanakan kreativiti dan inovasi pendidikan tinggi seperti yang diharapkan oleh masyarakat.

45. Model Kelestarian Kewangan (MKK) UMT memberikan perhatian kepada mempelbagaikan pendapatan melalui tiga sumber utama iaitu geran kerajaan, sumber dalaman dan endowmen (sumbangan masyarakat), dan pertumbuhannya berasaskan keupayaan pada tahun 2015, dan sasaran tahun 2020, 2030 dan matlamat akhir sasaran menjelang 2050.  Pada masa ini perbelanjaan UMT bergantung sepenuhnya kepada geran kerajaan dan sedikit tampungan daripada sumber dalaman. Untuk mengekalkan UMT sebagai sebuah IPT Awam berwibawa dan berfungsi melaksanakan agenda pendidikan tinggi negara, kita memutuskan, menjelang 2030, perkadaran sumber pendapatan UMT adalah 70% geran kerajaan, 20% sumber dalaman, dan 10% endowmen.

46. Sumber kewangan daripada geran kerajaan masih perlu diteruskan, khususnya untuk membiayai aktiviti pembangunan modal insan negara dan pemindahan ilmu untuk masyarakat. Peranan UMT sebagai badan berkanun kerajaan yang memberikan perkhidmatan pengajian tinggi untuk masyarakat terus dikekalkan. Dalam konteks ini, sebahagian besar daripada ahli akademik, staf profesional dan sokongan masih merupakan pegawai kerajaan dalam sistem perkhidmatan awam. Oleh itu, emolumen dan semua kemudahan perkhidmatan awam masih perlu disokong melalui geran kerajaan.

47. Sumber kewangan dalaman boleh dijana melalui pelaburan dan perniagaan ilmu, dan ditingkatkan sehingga 20% menjelang 2030. Pada masa ini simpanan tetap UMT telah dilabur dalam institusi kewangan berasaskan pendekatan paling selamat. Kita perlu bergerak ke arah mempelbagaikan bentuk pelaburan bagi memastikan pulangan yang optimum. Dalam konteks perniagaan ilmu, UMT Jaya Holdings Sdn. Bhd. (UMTJ) telah diberikan mandat penuh untuk merangka pelan perniagaan jangka panjang. Tumpuan perlu diberikan kepada perniagaan berasaskan Perkhidmatan Akademik (PA); berasaskan Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH); berasaskan Pemindahan Ilmu (PI) melalui khidmat teknikal dan perundingan; dan berasaskan Inovasi Teknologi (IT) iaitu pengkomersialan produk penyelidikan. Masanya telah tiba untuk UMTJ mengembangkan sayapnya melalui pewujudan anak syarikat perniagaan terfokus (umpamanya, syarikat perundingan) atau perniagaan bersama (JV) dengan rakan kongsi strategik.

48. UMT masih perlu memantapkan hala tuju program Dana Endowmen yang telah dilancarkan pada April 2013. Pada masa ini kita telah mengenalpasti beberapa bentuk endowment yang berpotensi dikembangkan. Antaranya ialah Endowmen Staf (ES); Endowmen Alumni (EA); Endowmen Swasta dan Institusi (ESI); Endowmen Penyelidikan dan Inovasi (EPI); dan Endowmen Wakaf (EW). Kita telah membentuk pasukan bertindak untuk membina strategi serta menggerakkan setiap bentuk endowmen ini. Bagi ES, kita telah berjaya menggerakkan 1.6% staf untuk menderma melalui potongan gaji bulanan. Angka ini terlalu kecil dan perlu ditingkatkan melalui pelbagai kempen ‘Kami Cakna, Kami Sayang UMT’.

49. Potensi untuk mengerakkan semua bentuk endowmen dan EW sebagai sumber dana tambahan sangat tinggi. Setiap pasukan bertindak perlu membina strategi yang mantap dan menggerakkan pelbagai aktiviti secara berterusan. Faktor kejayaan kritikal ialah bagaimana dana endowmen ini digunakan untuk meyakinkan para penderma, mereka telah bersama menjayakan satu usaha memajukan pendidikan anak bangsa yang murni dan istimewa. Mari kita jadikan 2015 sebagai Tahun Endowmen UMT, dan bersama-sama menjayakan pelbagai program endowmen sehingga kita mencapai sasaran 10% daripada dana pengurusan UMT menjelang 2030.

50. UMT perlu menyediakan strategi perbelanjaan yang mantap dan menyokong Pelan Strategik 2013 – 2017 dan anjakan paradigma baharu berasaskan Strategi Lautan Biru menjelang 2030. Dalam konteks Kanvas Strategi, kita telah mengenalpasti empat urusan teras yang perlu dimantapkan iaitu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P); Penyelidikan dan Inovasi (P&I); Pemindahan Ilmu; dan Pengurusan dan Pembangunan. Pada masa ini, selain daripada teras P&P yang berada pada tahap baik, urusan teras lain masih pada tahap rendah (membangun) dan memerlukan lonjakan yang pantas. Oleh itu, strategi perbelanjaan untuk 15 tahun akan datang wajar dipandu oleh Kanvas Strategi Pembangunan UMT 2015-2030.

51. Kewangan UMT akan berganjak dari kebergantungan tinggi geran kerajaan kepada peningkatan pendapatan sendiri sehingga pada kadar 70:30 menjelang 2030. Ini perlu diikuti oleh pengstrukturan semula governans kewangan. Jika pada masa ini, pentadbiran kewangan dilaksanakan oleh Pejabat Bendahari berasaskan sistem kewangan kerajaan, kita perlu berubah kepada sistem kewangan campuran iaitu kerajaan dan korporat. Pada tahun 2015, kita boleh membuat persediaan mengstruktur semula Pejabat Bendahari  menjadi Institusi Kewangan UMT yang diterajui oleh seorang Ketua Pegawai Kewangan (CFO). Pejabat baharu ini mengandungi dua bahagian iaitu mengurus geran kerajaan (fungsi Bendahari sekarang) dan kewangan korporat. Bahagian Kewangan Korporat akan diberikan mandat baharu untuk menguruskan aktiviti pelaburan, endowmen dan perniagaan universiti. Bahagian ini juga bakal diberikan mandat yang luwes untuk mengurus penggunaan dana hasilan bukan-kerajaan berasaskan prinsip korporat.

Transformasi Governans

 52. Pada tahun 2012, kita telah memacu transformasi governans ke arah perkhidmatan sokongan pengurusan berasaskan fungsi dan penyampaian yang cekap. Usaha ini telah mendapat sambutan baik daripada seluruh akar umbi. Perkhidmatan sokongan pengurusan telah dijajar berasaskan enam perkhidmatan utama iaitu pengajaran, penyelidikan, pelajar, pentadbiran, kewangan dan prasarana. Masanya telah tiba untuk kita lonjakkan lagi keberkesanan perkhidmatan sokongan melalui proses tadbir urus bijak (good governance), pemantapan institusi dan pengoptimuman output atau impak penyampaian.

53. ​Langkah ke hadapan untuk meningkatkan keupayaan Pusat Pengajian dan Institut Penyelidikan daripada perspektif governans ialah proses ‘nyah-pusat’ (decentralisation). Jika kita mengharapkan Dekan dan Pengarah selaku pemimpin akademik bergerak tepat dan pantas, mereka harus disokong oleh pengurus pentadbiran yang mantap. Untuk itu, pegawai tadbir senior perlu mengetuai pengurusan pentadbiran dan kewangan, serta perlu disokong oleh barisan staf sokongan yang mencukupi. Pada peringkat awal, kita telah menempatkan pegawai N48/N44 ke setiap Pusat Pengajian dan Institut Penyelidikan untuk memulakan proses pemantapan ini. Akhirnya pengurusan institusi Pengajian dan Penyelidikan ini mempunyai keupayaan yang tinggi untuk melonjakkan prestasinya ke arah kecemerlangan. Pejabat Pendaftar perlu menyediakan dasar dan pelan perlaksanaan sumber manusia profesional dan sokongan berasaskan keperluan nyah-pusat, multi-tasking dan amalan baik.

 54. Bagi menjayakan pengurusan akademik, penyelidikan, pelajar dan modal insan, UMT perlu memantapkan lagi pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi berdigital berasaskan pendekatan terintegrasi. Pada masa ini, kita telah membangunkan keupayaan perpustakaan digital, kemudahan e-pembelajaran dan perkhidmatan pengurusan teknologi maklumat secara berasingan. Pada masa yang sama pengurusan data digital mengenai perjawatan, akademik dan pelajar diurus oleh Pejabat Pendaftar, maklumat digital kewangan oleh Pejabat Bendahari, dan maklumat penyelidikan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan. Masanya telah tiba bagi UMT meningkatkan keupayaan pengurusan maklumat digital secara lebih terintegrasi dan berwawasan. Perubahan ini akan melibatkan penstrukturan semula PPDSNZ dan PPTM serta pengwujudan Pusat Data Berdigital baharu.

55. Pusat Data Berdigital bakal menjadi sumber rujukan maklumat sahih mengenai urusan pengurusan modal insan, pentadbiran akademik dan hal-ehwal pelajar. Ia juga berfungsi sebagai tempat simpanan rekod perjawatan semua warga UMT, merangkumi maklumat peribadi, pembangunan bakat dan penilaian prestasi. Dengan adanya prasarana ini, governans maklumat dapat dilaksanakan dengan ketepatan dan keberkesanan yang tinggi. Masanya telah tiba bagi UMT mewujudkan kepimpinan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) yang bertanggungjawab merangka Blueprint Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) UMT dan memantau perlaksanaan hal-ehwal maklumat digital. Institusi pelaksana, Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Perpustakaan Digital (e-Perpustakaan), Pusat Pembelajaran Digital (e-Pembelajaran) dan Pusat Data Berdigital (e-Data) perlu diurus secara bersepadu di bawah kepimpinan Pejabat Pengurusan Ekosistem Digital (PPED) yang diterajui oleh CIO.

56. Kita telah menggerakkan transformasi governans tahap pertama iaitu memperkemaskan kerangka organisasi utama. Masanya telah tiba untuk meneliti proses penambahbaikan berasaskan fungsi, saiz optimum dan amalan terbaik. Pejabat Pendaftar perlu meneliti kembali beberapa fungsi asas dan pendekatan penyampaian perkhidmatan secara berkesan. Ini meliputi fungsi mentadbir perjawatan, mengurus pendaftaran pelajar dan menyediakan perkhidmatan kemudahan untuk pengajaran, penyelidikan, pemindahan ilmu dan keselesaan warga.

57. Pejabat Pendaftar perlu meneliti semula penamaan jabatan supaya bersesuaian dengan fungsi utamanya. Umpamanya, Jabatan Pentadbiran Perjawatan boleh memberikan tumpuan kepada hal-ehwal perlantikan, perkhidmatan, rekod kerjaya dan persaraan berasaskan skim penjawat awam. Sementara pendekatan pengurusan yang sama boleh dikembangkan untuk staf kontrak dan kontrak perkhidmatan (contract for service). Jabatan Pendaftaran Pelajar pula perlu memberikan tumpuan kepada hal-ehwal pendaftaran, pentadbiran akademik dan penganugerahan ijazah. Sementara Jabatan Perkhidmatan Universiti memberikan tumpuan kepada menyediakan semua bentuk kemudahan perkhidmatan akademik dan bukan akademik untuk seluruh warga kampus.

 58. Pada masa yang sama, program pembangunan dan pemerkasaan bakat akademik, staf profesional dan sokongan perlu diperkukuhkan berasaskan pendekatan berstrategi. Umpamanya, kita telah memperkenalkan Pusat Pengurusan Bakat Akademik (PPBA) pada tahun 2013, dan kini telah menunjukkan hasilan yang memberangsangkan. Masanya telah tiba untuk kita memperkenalkan Pusat Latihan Staf Sokongan (PLSS) yang berfungsi untuk memperkasa modal insan melalui latihan kemahiran pengurusan dan teknikal. Pada peringkat awal, institusi ini boleh bertindak sebagai unit penyelarasan latihan, di mana sebahagian besar daripada latihan yang dirancang diperolehi daripada badan latihan luaran.

59. UMT mulai berganjak ke fasa perlaksanaan dan pemantapan, dan secara beransur-ansur meninggalkan fasa pembangunan. Persediaan ke arah ini perlu diberikan perhatian, khususnya menjajar set minda daripada menyediakan prasarana baharu kepada memastikan kemudahan sedia ada digunakan dalam keadaan terbaik dan dengan cekap. Pusat Pembangunan dan Harta (PPH) perlu memberikan perhatian tinggi kepada pengurusan penyelenggaraan dan penambahbaikkan kemudahan. UMT perlu menjajar peranan Pembangunan dan Harta bagi memastikan urusan perkhidmatan dalaman dan luaran diseimbangkan. Peranan penyelenggaraan oleh Unit Penyelenggaraan Dalaman perlu diperkukuhkan, sementara perlantikan kontraktor luar hanya untuk kerja-kerja berkala dan baikpulih khusus.

 60. Kita perlu bergerak ke arah Pembangunan Kampus Lestari dan memulakan semua perancangan yang diperlukan. Konsep Kampus Lestari memberikan penekanan kepada pembangunan dan penggunaan ruang secara optimum dan selamat, penjimatan tenaga, prihatin alam sekitar dan mesra pengguna. Tumpuan juga perlu diberikan kepada penghijauan kampus dan sistem pengangkutan bebas karbon. Pada awal tahun 2015, kita akan melancarkan Blueprint Kampus Lestari UMT dan menterjemahkan dalam bentuk program, projek dan aktiviti yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2015, serta perancangan projek untuk RMK-11 (2016-2020). PPH perlu menjadi peneraju perlaksanaan Kampus Lestari, meneliti governans sedia ada, dan menyusun semula berasaskan fungsi kelestarian ini. Fungsi pengurusan dan penyelenggaraan harta perlu diberikan tumpuan tinggi, sementara komponen perancangan pembangunan berasaskan kelestarian wajib dijadikan dasar baharu pembangunan prasarana kampus.

Bicara Penutup

61. Jika satu ketika dahulu, universiti diibaratkan sebagai Menara Gading, kini ia lebih sesuai dikenali sebagai Gedung Ilmu. Di universiti, ilmu lama dikumpul, ilmu baharu dicari, ilmu disampaikan kepada pelajar dan masyarakat, dan digunakan untuk kemajuan ekonomi dan ketamadunan bangsa. Kita perlu menerapkan kepercayaan, UMT adalah tempat penerokaan ilmu (penyelidikan), menyampaikan ilmu (pengajaran dan pembelajaran), dan penggunaan ilmu (dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara). Jika UMT mencari kerelevanan, kita perlu menggerakkan peranan ke-3 dengan lebih berstrategi melalui inovasi teknologi dan inovasi sosial. Kita bukan lagi hak pelajar dan ilmuan, tetapi telah berkembang menjadi hak komuniti, masyarakat dan pembangunan negara.

62. Cabaran paling getir yang sedang dihadapi oleh komuniti IPT awam ialah gelombang globalisasi. Keupayaan, kemajuan dan pencapaian kita diukur oleh masyarakat daripada perspektif global. Bagaimana untuk mengimbangi kehendak kebangsaan dan tuntutan global? Saya pernah sarankan dalam syarahan terdahulu, warga UMT perlu berfikiran global dan bertindak lokal. Dalam konteks ini, kita perlu wujudkan jaringan penyelidikan dan pengajaran antarabangsa yang mantap. Ahli akademik UMT perlu memikirkan pembangunan ilmu daripada perspektif global, rakan kesepakaran global, dan menetapkan kualiti pada tahap global. Bagaimanapun, dalam bertindak kita harus menyelesaikan persoalan lokal, faedah ilmu untuk komuniti tempatan, dan pembangunan peluang untuk pembangunan negara.

63. Masanya telah berlalu untuk mencapai kecemerlangan, kita perlu berkerja keras untuk mencari keunggulan. Dalam konteks ini, UMT perlu terus bertekad untuk mencari keunggulan melalui bidang terfokus ‘ilmu kelautan dan sumber akuatik’. Semua kepelbagaian ilmu, dari sains dan matematik, sains sosial dan pengurusan, teknologi dan kejuruteraan, kita perlu jajarkan kepada pembangunan sektor maritim, perikanan, dan sumber marin dan persisiran. Inilah lautan biru yang perlu kita terokai untuk mencari keunggulan.

64. Pada peringkat institusi, kita sedang bergerak ke arah pemantapan perlaksanaan governans dan sistem pengurusan. Seluruh warga UMT perlu memantapkan keupayaan kerjaya melalui amalan Wibawa, Integriti dan Profesionalisme (WIP). Sumbangan kita perlu dihargai oleh rakan dan pelanggan. Jiwa kita sentiasa berpegang kepada prinsip jujur, ikhlas dan amanah, dan kerja kita sentiasa berkualiti dan menepati masa. Jika iltizam WIP berkembang subur, pemantapan institusi akan menyusul secara bersahaja.

65. Syarahan ini memberikan panduan untuk mengukuhkan halatuju kita sambil melaksanakan tindakan penambahbaikan berterusan. Sebagai sebuah universiti awam yang menghargai kepelbagaian ilmu, saya tidak bercadang untuk mendorong anda melakukan urusan akademik hanya menggunakan satu acuan sahaja. Saya ingin menggalakkan penyuburan kreativiti akademik dan anda perlu mencari nic (ceruk) yang tepat untuk menyumbang ke arah kesarjanaan. Pesanan akhir saya, kembangkan pembudayaan pemikiran mendahului zaman dan sentiasa berada di barisan hadapan ufuk ilmu. Selamat meningkatkan sumbangan anda pada tahun 2015 ini.

Sekian, terima kasih