UMT Realisasi Pelajar OKU Selami Dasar Laut

BERGELAR OKU atau Orang Kelainan Upaya bukanlah sesuatu yang mudah dalam mendepani kehidupan seharian. Lebih besar beban yang ditanggung sekiranya kecacatan yang dialami seperti ketiadaan anggota kaki dan tangan serta lumpuh yang amat membataskan pergerakan.

Malah persepsi masyarakat umum terhadap golongan ini perlu diubah dan di ganti dengan nilai ihsan dan kasih sayang agar golongan ini tidak disisihkan.

Namun kehidupan Mohammad Zulhilmi Mohd Raduwan, 21, berubah setelah menyertai program Selaman Skuba Kelainan Upaya (Special Ability Diver 2019) anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pulau Bidong, Terengganu baru-baru ini.

Zulhilmi yang juga merupakan anak ketiga dari enam adik-beradik mengalami kecacatan saraf menyebabkan beliau tidak mampu berjalan sejak kecil.

Menurut Zulhilmi, beliau tidak pernah menganggap kecacatan yang dialami sebagai halangan untuk melakukan aktiviti lasak.

“Saya memang sukakan aktiviti lasak dan ingin menguji daya tahan serta kemampuan diri. Bagi saya, walaupon berkerusi roda, saya mampu untuk lakukan aktiviti yang menguji kemampuan fizikal. Dengan bantuan daripada rakan karib yang juga buddy dalam kampus UMT, membuatkan semangat saya berkobar-kobar dan ia merupakan bonus bagi saya”. Ujar beliau yang juga pelajar tahun 2 Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) di UMT.

“Saya tidak teragak-agak untuk sertai program selaman skuba setelah dimaklumkan oleh penganjur baru-baru ini. Walaupun keluarga agak risau tentang kekurangan fizikal, saya buktikan bahawa diri saya mampu lakukan aktiviti ini dengan baik dan berjaya”.

Tambah beliau, pelbagai aktiviti yang telah disertai di pelbagai peringkat.

“Saya juga mencabar diri dalam sukan memanah di peringkat universiti dan misi saya adalah ingin bertanding di SUKMA Paralimpik”.

“Bagi saya, golongan OKU perlu yakin dan tunjukkan kemampuan diri agar masyarakat umum turut yakin dengan kemampuan kita”.

Menurut Zulhilmi, beliau sedia berkongsi pengalaman yang dimiliki terutamanya kepada golongan senasib dengannya agar terus menempa kejayaan dalam hidup.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan memberi kepercayaan kepada kemampuan yang dimiliki terutamanya pengurusan UMT serta kawan-kawan yang telah banyak membantu dalam memudahkan pergerakan seharian.


Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu