CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

WOW’19 UMT Bawa Mesej Hindari Penggunaan Plastik

Hari Lautan Sedunia (World Oceans Day) telah diiktiraf oleh United Nation (UNESCO) yang disambut secara global pada 8 Jun setiap tahun bermula pada tahun 2009.

Bagi mempromosikan serta sebagai tanda sokongan dalam usaha memulihara sumber laut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program ‘World Oceans Week’ (WOW’19) sarat dengan aktiviti kesedaran mengenai kepentingan laut peringkat global.

Menurut Profesor Dato` Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT, sebagai sebuah Universiti yang berfokuskan ilmu kelautan dan sumber akuatik, program WOW turut diketengahkan sebagai acara tahunan dalam takwim UMT.

“Sepanjang penganjuran program kesedaran ini beberapa tahun dahulu, kita dapat lihat perbezaan kadar pembuangan sampah di kawasan pantai semakin berkurangan. Ini bermakna kempen yang kita lancarkan mendapat impak positif walaupun dipandang kecil bagi sesetengah pihak tetapi usaha itu mampu mengekalkan kelestarian alam semulajadi.

“Antara kelainan yang kita buat pada tahun ini ialah kita kumpulkan kelab kayak UMT untuk turut serta membersihkan kawasan pemecah ombak yang agak jauh dari pantai. Kita berharap agar lebih ramai agensi dan NGO turut bekerjasama dengan UMT dalam merancakkan dan mempromosikan aktiviti kesedaran mengenai kepentingan lautan di peringkat nasional mahupun global.

Tambah beliau, WOW’19 turut membawa slogan “Hindari Plastik Sekali Guna” (#hindariplastiksekaliguna) sebagai inisiatif UMT dalam usaha membebaskan lautan daripada pencemaran sisa plastik yang akhirnya memusnahkan hidupan marin.

Selain membersihkan pantai, WOW’19 padat dengan aktiviti-aktiviti lain seperti “Beach Soccer @ UMT International Sports Carnival”, Pertandingan Membina Istana Pasir, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak bertemakan Lautan, WOW Explorace- Into the Heart of the Sea dan lain-lain.

Pesta Pantai WOW ini memberi peluang kepada masyarakat untuk terlibat secara langsung bersama-sama pihak UMT dalam melindungi alam sekitar dan menyemai semangat untuk bersama-sama memulihara dan melindungi biodiversiti marin.

Program WOW’19 mendapat kerjasama daripada MESTECC, Uptown Kontena Dapo Pata dengan sambutan luar biasa kira-kira 3000 orang yang terdiri daripada para pelajar dan komuniti setempat.

Turut hadir memeriahkan program ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) YBhg. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Karyawan Tamu UMT, Fauziah Latiff serta Mat Dan selaku Ikon Pelancongan Negeri Terengganu.


Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu