CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT, OUC jalin kerjasama sains marin

Putrajaya: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Ocean University of China (OUC) mengadakan kerjasama strategik bagi memperluaskan lagi penyelidikan dan program kolaborasi akademik dalam bidang sains marin pada peringkat antarabangsa.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata kerjasama dengan OUC akan diperkukuhkan lagi dengan cadangan penubuhan Pusat Akademik Sains Marin UMT-OUC di kampus UMT, Kuala Nerus, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, melalui pusat itu, pelbagai aktiviti pemantapan akan dijalankan antaranya program pertukaran staf akademik dan pelajar, kerjasama penyelidikan saintifik dan penghasilan penerbitan akademik berimpak tinggi.

Katanya, selain itu, UMT dan OUC akan turut menganjurkan beberapa bengkel tahunan khususnya dalam penyelidikan bioteknologi marin, mikrobiologi akuatik, akuakultur, oseanografi dan kejuruteraan kelautan.

“Pihak OUC akan memperuntukkan sejumlah dana selama lima tahun bagi tujuan pelaksanaan aktiviti bersamasama bagi kepentingan keduadua pihak,” katanya di sini, baru-baru ini.

Pelancaran Pusat Akademik Sains Marin UMT-OUC akan diadakan pada 28 Oktober 2019 di UMT bersempena dengan penganjuran bengkel UMTOUC Workshop on Aquatic Sciences: A Joint Initiative Between UMT and Ocean OUC.

Perbincangan bagi penubuhan Pusat Akademik Sains Marin UMT-OUC itu dipersetujui ketika lawatan kerja rasmi delegasi UMT ke Qingdao dan Tianjin, China.

Delegasi UMT diketuai Prof Nor Aieni itu turut disertai Pengarah Institut Bioteknologi Marin UMT, Prof Madya Dr Yeong Yik Sung; Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT, Dr Mok Wen Jye dan Pegawai Komunikasi Strategik, Norul Aina Amirah Ab Rahman.

Manakala, dalam pertemuan itu, OUC diketuai oleh Presidennya, Prof Yu Zhigang yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Sains dan Teknologi OUC, Prof Li Yan; Dekan Kolej Perikanan, Prof Li Qi dan Timbalan Dekan Kolej Sains Marin, Prof Wang Min.

-Berita Harian