CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Sejam bersama al-Quran sepanjang Ramadan

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud meneruskan program Jom Kerja Jom Tadarus untuk tahun keempat berturut-turut.

Program yang menjadi acara tradisi setiap kali Ramadan itu diadakan bagi memberi peluang kepada kakitangan dan pelajar universiti serta komuniti setempat membaiki bacaan al-Quran masing-masing.

Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud, Dr Riswadi Azmi berkata, satu jam setiap hari diperuntukkan untuk mengisi aktiviti bertadarus.

Menurutnya, program sejak 2015 itu turut mendapat sokongan dan penyertaan memberangsangkan daripada penduduk.

“Tujuan program ini ialah untuk memberi peluang kepada peserta untuk membaiki dan menyemak kembali bacaan al-Quran.

“Kumpulan tadarus UMT ini diketuai seorang pakar al-Quran yang membantu meningkatkan kemahiran di samping mentadabbur makna dan isi kandungannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, bersesuaian dengan bulan Ramadan, aktiviti tadarus sememangnya amat digalakkan kepada semua umat Islam.

“Kita harap peserta yang mengambil bahagian Jom Kerja Jom Tadarus ini memperoleh ganjaran pahala daripada ALLAH,” katanya.

Menurutnya, program itu juga akan diteruskan pada tahun akan datang supaya budaya membaca al-Quran dan memahami terjemahan menjadi amalan bukan sahaja kakitangan UMT tetapi juga komuniti setempat.

Cintakan al-Quran

Dalam pada itu, ditanya mengenai kempen World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Riswadi mengakui ia usaha yang baik bagi menerapkan kecintaan terhadap al-Quran.

“Usaha ini seharusnya disokong semua pihak dan diharapkan masyarakat tanpa mengira usia dapat mengambil bahagian,” katanya.

 

Sumber: Nurul Huda Husain, Sinar Harian