CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

RRC INOS Penyumbang Data Oseanografi Global

Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) melalui Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC) adalah OBIS Node Malaysia semenjak 2017. OBIS merupakan pangkalan data antarabangsa khusus mengenai kepelbagaian organisma marin di seluruh dunia.

Ketua RRC, Dr Izwandy Idris telah menghadiri mesyuarat tahunan bagi ‘Ocean Biogeographic Information System’ (OBIS) pada 12 sehingga 16 November 2018 di UNESCO/IOC Project Office for IODE, Oostende, Belgium. Mesyuarat selama 5 hari ini dihadiri oleh sebahagian besar OBIS NODE dan OBIS Data Manager dari seluruh dunia, antaranya dari Chile, Jepun, Ukraine, Indonesia, Tanzania dan Malaysia. Mesyuarat tahunan ini bermula pada 12 November, bagaimanapun ditangguh selama dua hari (12-13 November) untuk memberi laluan kepada sesi ‘Data Hackaton’.

Semasa sesi ini berlangsung, data-data biologi yang telah dihantar ke OBIS akan dinilai semula. Selain itu, dataset yang tidak bernaung di bawah mana-mana OBIS Node akan diambil oleh Node yang berkaitan. Mesyuarat yang berlangsung selepas itu membincangkan mengenai prestasi tahunan OBIS serta agenda-agenda untuk meneruskan kelangsungan OBIS. Hasil mesyuarat ini akan dibawa ke mesyuarat peringkat International Oceanographic Data and Information Exchange (IODE) pada bulan Mac dan seterusnya ke peringkat Intergovernmental Oceanographic Commission di bawah UNESCO pada penghujung 2019.

Penglibatan RRC INOS dalam mesyuarat ini membuktikan INOS ialah ahli penting dalam jaringan data yang berkaitan dengan oseanografi di peringkat antarabangsa. 

-Dr. Izwandy Idris, INOS