Naib Canselor, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, kesemua graduan yang diraikan itu terdiri daripada penerima sijil peringkat doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma membabitkan 9 fakulti. Daripada jumlah itu 195 graduan adalah pasca siswazah selain 2,647 pra siswazah dan 128 peringkat diploma.

Jumlah graduan yang diraikan pada tahun ini juga meningkat sebanyak 10 peratus berbanding 2017 iaitu 2,718 graduan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman yang mewakili Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Turut diraikan ialah Encik Mat Sidik dan Puan Aminah, ibubapa kepada Allahyarhamah Nurul Fazierah yang hadir bagi menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) secara anumerta bagi pihak anak mereka. Allahyarhamah Nurul Fazierah telah meninggal pada 26 Januari 2018 yang lalu akibat kanser darah. 

Majlis ini juga meraikan kumpulan graduan sulung bagi dua program pengajian UMT iaitu 11 graduan Sarjana Kaunseling dan 38 graduan Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Sains Tanaman).