CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT, NMDIS China tandatangan MoU

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober 2018: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan National Marine Data and Information Service (NMDIS), China, bagi mewujudkan kerjasama penyelidikan dan teknikal dalam Marine Big Data Platform.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata kerjasama itu amat penting kerana ia bukan sahaja memudahkan negara menangani pelbagai isu pencemaran dan pemuliharaan laut.

Katanya, kerjasama itu amat menguntungkan negara, lebih-lebih lagi China yang mempunyai teknologi canggih dan terkehadapan dalam pengurusan data besar marin.

“Di samping itu ia juga akan membuka ruang kerjasama kepada penyelidik untuk kolaborasi saintifik rentas sempadan dalam usaha mempertingkatkan penyelidikan dalam bidang kelautan dan sains marin untuk kelestarian negara serta dunia pada masa depan.

“China sangat ke depan berkaitan teknologi kelautan dan banyak yang boleh kita belajar contohnya untuk meramal bencana seperti taufan dan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Sains Marin dan Laut Tropika (TOMSY) 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Akademik dan Bakat) Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, Prof Madya Dr Suhaimi Suratman.

Ditanya mengenai Bajet 2019, Dr Nor Aieni berkata, kerajaan perlu terus menyediakan peruntukan besar membabitkan kemudahan untuk penyelidikan.

“Permohonan kami kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk Bajet 2019 supaya dapat terus memberi peruntukan besar untuk kemudahan dan peralatan kerana seperti kita tahu, ia perlu sentiasa ditukar… 10 tahun dah kira teknologi lama.

“Dengan belanjawan yang mencukupi, kita juga mungkin dapat meneroka bidang dan teknologi baharu pada masa depan seiring dengan Industri Revolusi 4.0,” katanya.

Sementara itu, Dr Suhaimi berkata, simposium itu bertujuan mengumpul saintis terkemuka, penyelidik dan sarjana penyelidikan bagi bertukar fikiran dan berkongsi pengalaman serta hasil penyelidikan mengenai semua aspek berkenaan terutama kajian dilakukan di kawasan tropika,” katanya.

Oleh Helmy Abd Rahman