CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Usaha Luaskan Kepakaran Ilmu Kelautan Akuatik

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan pelbagai inisiatif dalam usaha meluaskan kepakaran ilmu kelautan dan akuatiknya ke peringkat antarabangsa.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, antara inisiatif yang dilaksana ialah menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan bersama universiti di Mauritius khusus dalam bidang kelautan dan sains marin pada Oktober depan.

Usaha melebarkan kepakaran ke peringkat global adalah strategi UMT bagi mempertingkat daya pengantarabangsaan pengajian, katanya kepada Bernama ketika sesi lawatan kerjasama strategik antara Bernama dan UMT di kampus induknya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, selain itu, bagi meningkatkan kualiti silibus pengajian dan penyelidikan, pihak UMT merancang untuk melantik tenaga pengajar pakar dari luar negara.

“Kita akan lantik pakar antarabangsa sebagai visiting professor (profesor pelawat), felo dan saintis ke universiti ini supaya dalam bidang-bidang khusus kita dapat bangunkan dan percepatkan proses pemindahan ilmu dan teknologi,” katanya.

Menyentuh mengenai biodiversiti marin, Nor Aieni berkata, kawasan yang mempunyai biodiversiti marin seperti terumbu karang, sumber perikanan dan mineral dasar laut yang tinggi memerlukan pengurusan yang mantap serta perundangan yang bersesuaian.

Oleh itu, UMT telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan kumpulan penyelidik Kumpulan Kepentingan Khas (Special Interest Group/SIG) UMT – Tata Tadbir Oseanografi (Ocean Governance) – untuk menjamin kelestarian sumber laut, katanya yang berpengalaman luas dalam bidang osenografi di peringkat nasional dan antarabangsa. – Bernama