CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT teruskan hubungan kerjasama dengan Universitas Bung Hatta Indonesia

Padang, Indonesia, 9 Ogos – UMT meneruskan usaha untuk meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat global melalui hubungan kerjasama dengan Universitas Bung Hatta (BHU), Indonesia.

“Universitas Bung Hatta adalah salah sebuah universiti di Indonesia yang mempunyai kepakaran penyelidikan yang sama dengan UMT, dan kita akan meneruskan hubungan kerjasama ini yang sudah terjalin sejak tahun 2005 bagi meningkatkan kepakaran masing-masing terutamanya penyelidikan dalam bidang perikanan, akuakultur, sains marin, pendidikan komuniti dan kejuruteraan kelautan,” kata Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMT dengan BHU pada hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Rektor BHU, Prof. Dr. Azwar Ananda; Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Marin BHU, Ir. Mas Eriza; dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur UMT, Prof.Dr. Najiah Musa.

“Ramai ahli akademik BHU adalah alumni UPMT dan hubungan kerjasama ini sudah pasti akan meningkatkan kecemerlangan penyelidikan dan citra UMT apabila ahli akademik dan staf UMT dapat berkolaborasi dengan pakar-pakar yang terdapat di BHU. Antara program yang akan dilaksanakan adalah program pembangunan dan pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan dan penerbitan bersama, dan pelaksanaan seminar secara bersama,” katanya lagi.