Seikhlas Kasih Sejuta Harapan

Islam mengiktiraf hak setiap manusia, dan dalam masa yang sama meletakkan tanggungjawab kemasyarakatan bagi menjaga keseimbangan antara kepentingan peribadi dan maslahat masyarakat. Dalam mengimbangi taraf, suasana dan keperluan hidup masyarakat yang pelbagai, Islam telah meletakkan beberapa kaedah penyelesaian, antaranya ialah gesaan membudayakan infaq. Infaq adalah bukti keperihatinan Islam terhadap kesejahteraan dan keadilan masyarakat.

Secara umumnya, infaq bermaksud membelanjakan harta pada jalan Allah SWT. Infaq terbahagi kepada dua iaitu infaq yang wajib dan infaq yang sunat. Infaq yang wajib antaranya adalah zakat, fidyah, bayaran kafarah, menunaikan nazar dan keperluan tanggungan wajib atau nafkah ke atas seseorang lelaki yang meliputi makan minum dan tempat tinggal untuk anak-anak, isteri dan ibubapa. Infaq yang sunat pula antaranya adalah sebarang bentuk sumbangan, sedekah atau derma kepada orang perseorangan, tabung kebajikan, pertubuhan kebajikan bagi kegunaan untuk keperluan sara hidup, kemudahan asas, kediaman, rawatan perubatan, pendidikan dan sebagainya. Allah SWT menjanjikan keuntungan yang berlipat kali ganda bagi orang-orang yang membelanjakan atau menyumbangkan harta bendanya untuk mencapai keredhaan Allah.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud, “Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi seseiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah maha luas rahmat kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Allah SWT menguji manusia dengan pelbagai keadaan, ada yang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya, ada yang miskin, ada yang sihat, ada yang sakit, ada yang sempurna dan ada yang cacat. Musibah yang menimpa itu bertujuan menilai atau menguji sejauh mana keimanan, kesyukuran dan kesabaran kita semua. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan, dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Dalam kepelbagaian ujian yang berupa nikmat dan musibah itu, kita perlu sentiasa bersyukur dan bersabar. Jadikanlah perbezaan nasib itu sebagai ruang untuk kita mencapai kemuslahatan bersama sebagai saudara seakidah dan atas sifat peri kemanusiaan. Persaudaraan sesama Islam yang sebenar, hanya akan terbukti apabila kita turut merasa susah, sedih dan bersedia membantu ketika mana saudara kita sedang sakit, susah dan menderita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Gambaran kehidupan orang yang berima dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta-mencintai, samalah seperti anggota tubuh, jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain yang tidak dapat tidur malam dan demam.” (HR Bukhari dan Muslim)

Atas dasar tanggungjawab dan keperihatinan, Kerajaan Negeri Terengganu telah melancarkan Tabung Darul Iman. Tabung ini adalah gabungan tiga tabung iaitu, Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan, yang bertujuan mengumpul dana bagi membantu meringankan beban rakyat yang ditimpa musibah atau kurang bernasib baik. Dana dari tabung ini akan disalurkan bagi membiayai pelbagai bantuan yang terbahagi kepada dua jenis iaitu –

Pertama : bantuan bagi individu yang ditimpa musibah seperti kerosakan akibat ribut, kebakaran, serangan haiwan liar atau penyakit yang menimpa ternakan atau tanaman.

Kedua : bantuan bagi individu yang ditimpa penyakit kronik, bantuan pembedahan yang memerlukan implan seperti pemasangan besi dalam anggota badan dan pembelian ubat-ubatan yang tiada dalam senarai Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selaras dengan matlamat membudayakan infaq dalam kalangan umat Islam, marilah kita sama-sama menyumbang bagi membantu meringankan bebanan hidup ahli masyarakat yang lain. Sesungguhnya, sumbangan yang seikhlas kasih akan memenuhi sejuta harapan. Semoga dengan budaya infaq ini, kita semua akan dianugerahkan keberkatan dan bumi Terengganu Darul Iman ini dilimpahi kemakmuran.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 27 April 2018]