CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT bekerjasama dengan CCM Polymers dalam industri sarung tangan dan penjagaan kesihatan

KUALA LUMPUR, 25 Mei – UMT terus melebarkan jaringan dan hubungan kerjasama dengan pihak industri apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CCM Polymers Sdn. Bhd. pada hari ini. Hubungan kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuhkan aktiviti penyelidikan dalam industri sarung tangan dan penjagaan kesihatan.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, CCM Polymers Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam pembuatan dan penjualan produk pembersih industri dan produk salutan hidrogel, manakala UMT mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut iaitu Profesor Madya Dr. Lam Su Shiung daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan, UMT.

“Dr. Lam Su Shiung pernah menjalani sangkutan industri di CCM Polymers dan hubungan kerjasama ini sudah pasti akan dapat menambah nilai kepada kedua-dua belah pihak. Bidang kerjasama yang akan diberikan tumpuan adalah penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan bersama teknologi atau produk inovatif untuk industri sarung tangan dan penjagaan kesihatan, membina kapasiti kemudahan penyelidikan polimer untuk pembangunan produk baru dan pengembaraan bersama teknologi terkini untuk penyelidikan dan pembangunan,” katanya selepas selesai menandatangani MoU tersebut.

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan, Prof. Madya Dr. Mohamad Fadhli Ahmad; Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif (Polymers) CCM, Dr. Khew Mei Ching.

“Melalui hubungan kerjasama ini, UMT dijangka dapat memperolehi faedah untuk mendapatkan geran perindustrian atau sepadan daripada CCM, menghasilkan penerbitan ilmiah yang berimpak tinggi serta membangunkan kepakaran bakat ahli akademik UMT ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya lagi.